A.S.A.P mengimbas kemajuan lebih 15 tahun dan meninjau masa depan - penyakit berjangkit di dalam dunia hari ini

Penyakit berjangkit mengakibatkan lebih banyak kematian di dunia pada masa ini berbanding penyakit-penyakit lain. Namun dalam tempoh 15 tahun dan ekoran kemajuan dalam bidang perubatan, kita kini lebih berupaya mencegah banyak penyakit yang dulunya dianggap boleh membawa maut. Para penceramah utama Kongres Antarabangsa Penyakit-penyakit Berjangkit (ICID) telah berkongsi pendapat bersama Asian Strategic Alliance for Pneumococcal disease prevention (A.S.A.P). Ikuti pandangan mereka dalam bentuk soal jawab mengenai isu-isu berkaitan.
 
 
 
PENINGKATAN PANDEMIK INFLUENZA
 
Profesor Keith Klugman (KK) – William H Foege. Beliau ialah Profesor Kesihatan Global, Hubert Department of Global Health, Rollins School of Public Health, Emory University; Profesor Perubatan, Bahagin Penyakit Berjangkit, Emory School of Medicine, Atlanta, GA, Amerika Syarikat.
 
 
Apakah yang dimaksudkan sebagai pandemik influenza?
 
KK: Pandemik berlaku tiap-tiap 20-40 tahun apabila terjadi mutasi keatas virus influenza sehinggakan tindakan pencegahan sedia ada tidak berkesan. Tiga pandemik yang lalu terdiri daripada Spanish Flu (tahun 1918), Asian Flu (1957) dan Hong Kong Flu (1968). Setiap pandemik ini telah meragut kira-kira sejuta nyawa, kecuali Spanish Flu yang menyebabkan 40 juta kematian.
 
 
Mengapa pandemik influenza ini begitu merbahaya?
 
KK: Virus influenza amat mudah merebak dan boleh mengakibatkan jangkitan sekunder yang teruk seperti pneumokokal pneumonia yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi. Di samping itu, virus flu juga mudah bertukar dan menghasilkan jenis flu yang baru. Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sering memantau kejadian flu di seluruh dunia dan memaklumkan tentang jenis flu yang dijangka akan aktif pada masa akan datang. Sebab itulah kami mengesyorkan agar orang ramai meningkatkan daya ketahanan mereka dengan suntikan vaksin yang dapat mencegah flu atau jangkitan-jangkitan sekunder seperti pneumonia.
 
 
KETAHANAN ANTIBIOTIK
 
Profesor Ron Dagan (RD) – Pengarah Unit Penyakit Berjangkit Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Soroka University Medical Centre, Beer-Sheva, Israel.
 
 
Apakah pula kekebalan antibiotik?
 
RD: Kekebalan atau resistan antibiotik bererti kesukaran untuk merawat penyakit dengan antibiotik konvensional atau ‘first-line’. Antibiotik melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Walau bagaimanapun, banyak penyakit seperti flu adalah disebabkan oleh virus yang tidak memberikan respon kepada antibiotik kerana antibiotik hanya efektif untuk melawan penyakit yang diakibatkan oleh bakteria.
 
 
Mengapa kekebalan antibiotik merupakan satu masalah?
 
RD: Antibiotik yang digunakan sekarang adalah tidak begitu berkesan lagi untuk melawan jangkitan. Disebabkan keadaan ini, para doktor sekarang terpaksa menggunakan ubat yang lebih kuat atau ubat percubaan yang mungkin mempunyai kesan sampingan.Jika kita membiarkan keadaan ini berlarutan, kita akan berhadapan dengan krisis kesihatan awam di mana jangkitan biasa boleh mengancam nyawa.
 
 
Berkenaan dengan kesihatan awam, adakah antibiotik atau vaksin yang lebih penting?
 
RD: Bukan soal yang mana lebih penting. Cara terbaik adalah mencegah penyakit. Ini dapat dilakukan melalui pemberian vaksin tetapi kita tahu bahawa bukan semua penyakit dapat dicegah melalui penggunaan vaksin dan antibiotik akan memainkan peranan dalam keadaan ini.
 
Berita terkini melaporkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah memberi Status Kelulusan Pantas kepada Wyeth Pharmaceuticals untuk Vaksin Konjugat Pneumokokal 13-valen (13V). Apakah maksud kelulusan ini dan boleh terangkan dengan lebih lanjut tentang faedahya?
 
RD: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah memberikan Status Kelulusan Pantas untuk produk ini kerana mereka menyedari ancaman penyakit ini dan kebaikan yang dapat dijanjikan oleh vaksin ini. Pada masa ini, sudah ada vaksin yang bagus, PCV7 yang dapat memberi perlindungan daripada tujuh jenis bakteria pneumokokkus yang biasanya menyebabkan penyakit yang serius. Bagaimanapun vaksin 13V akan dapat memberi perlindungan tambahan termasuklah strain jenis yang kebal terhadap antibiotik.
 
 
KEMUJARABAN VAKSIN
 
Dr. Lulu Bravo (LB) – Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit Pediatrik di Kolej Perubatan, University of the Phillipines Manila, Phillipine General Hospital.
 
 
Adakah vaksin selamat dan berkesan?
 
LB: Piawaian keselamatan vaksin adalah tinggi. Peraturan dalam industri tersebut mengesyorkan agar vaksin disediakan pada tahap paling selamat dan berkesan. Untuk mencapai tahap piawaian emas, vaksin konjugat pnumokokal perlu mencapai sejumlah Cprot 0.35 ug/ml. Undang-undang mensyaratkan supaya ujian dijalankan selama beberapa tahun sebelum vaksin boleh dilesenkan. Sebaik saja digunakan, vaksin dipantau dengan kerap untuk memastikan keselamatan dan kemujarabannya.
 
Mengapa sebilangan orang mengalami reaksi daripada vaksinasi yang mereka terima? Bukankah vaksin sepatutnya melindungi kita?
LB: Setiap orang adalah unik dan mungkin bertindak berlainan terhadap pengimunan.
 
Kadang-kala, orang yang menerima vaksin tidak memberi respon kepadanya dan mungkin masih mengalami penyakit yang sepatutnya dilindungi oleh vaksin tersebut.
 
Dalam kebanyakan kes, vaksin adalah berkesan dan tidak mendatangkan kesan sampingan, atau hanya reaksi ringan seperti demam atau sakit di tempat suntikan.
 
Jarang bagi seseorang mengalami kesan sampingan yang serius, seperti reaksi alahan. Beritahu doktor jika anda mempunyai masalah kesihatan atau alahan terhadap ubat atau makanan.
Reaksi serius terhadap vaksin jarang berlaku, oleh itu risikonya amat sukar ditentukan.
 
 
Adakah kebaikan vaksinasi mengatasi risikonya?
 
LB: Mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya. Sebagai contoh, vaksin konjugat pneumokokal. Bakteria pneumokokus masih menyebabkan ratusan kes meningitis, jangkitan darah dan pneumonia setiap tahun di Amerika Syarikat. Oleh kerana vaksin pneumokokal tidak menyebabkan kesan sampingan serius, kebaikan vaksin ini adalah jelas lebih tinggi daripada risikonya. Untuk makluman, dalam tahun 1940-an, semua jenis bakteria pneumokokus adalah sensitif kepada antibiotik penicillin. Walau bagaimanapun, sejak sedekad lalu, banyak pneumokokus semakin resistan bukan saja kepada penicillin, tetapi juga pelbagai jenis antibiotik lain. Kini, beberapa jenis pneumokokus telah dikenalpasti resistan pada kebanyakan antibiotik. Sikap terlalu bergantung kepada antibiotik dan penggunaan berlebihan antibiotik telah menjadikan kita terdesak sekarang. Kita telah mengambil langkah pertama ke arah era pasca antibiotik dengan mengguna vaksin.