Kenali buah pinggang anda

ARTIKEL DARIPADA UTUSAN ONLINE

 

SIRI PERTAMA


PENGESANAN awal penyakit buah pinggang amat penting untuk melambatkan penularan penyakit ini dan mencegah penyakit kardiovaskular yang berkaitan.

 

Buah pinggang adalah organ yang penting dalam badan. Meskipun saiznya kecil, hanya lebih kurang dua penumbuk tangan, buah pinggang kita mempunyai keupayaan untuk menapis bahan buangan daripada darah dan membantu membuang bendalir berlebihan.

 

Setiap hari, kira-kira 200 liter darah ditapis atau ‘dibersihkan’ oleh buah pinggang. Di samping itu, buah pinggang juga terlibat dalam penghasilan sel-sel darah merah, kawalan tekanan darah, kawalan keseimbangan asid-bes (alkali) dan penjagaan kesihatan tulang.

Jika terdapat keadaan tidak normal dalam buah pinggang, contohnya tahap protein melebihi paras normal atau terdapat kesan darah dalam air kencing atau jika fungsi buah pinggang merosot, besar kemungkinan kita menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang tidak ketara kerana pesakit masih berasa sihat. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan jika ramai orang tidak sedar mereka mengalami masalah buah pinggang dan lama-kelamaan penyakit ini lebih teruk.

Hakikatnya, penularan penyakit buah pinggang kronik adalah lebih serius daripada yang kita sangkakan.

 

Kajian terhadap pelbagai bangsa di seluruh dunia menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap 10 orang dewasa menghidap penyakit buah pinggang kronik.

 

Di samping itu, penyakit buah pinggang kronik adalah ‘penyakit berganda’ kerana ia dikaitkan dengan peningkatan sekurang-kurangnya 10 kali ganda risiko kematian awal akibat penyakit jantung, strok dan penyakit vaskular periferal.

 

Fungsi renal atau ginjal adalah pada tahap optimum dengan dua buah pinggang yang sihat. Sedikit kemerosotan dalam kadar fungsi biasanya tidak memudaratkan.

 

normal

 

Seseorang masih dapat menjalani hidup normal dengan hanya satu buah pinggang, yang memberikan 50 peratus fungsi renal.

Masalah kesihatan yang serius biasanya mula timbul apabila fungsi renal seseorang merosot hingga di bawah paras 30 peratus.

Apabila fungsi renal kurang daripada paras 10 hingga 15 peratus, peluang untuk hidup adalah tipis jika pesakit tidak menjalani rawatan penggantian fungsi ginjal seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.

 

Oleh kerana gejala yang ketara, penyakit buah pinggang hanya dapat dikesan pada peringkat lanjut, adalah penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan yang mudah dan berkala, khususnya ujian air kencing, darah dan tekanan darah.

 

Jika dikesan awal, penularan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan dengan rawatan dan strategi pengurusan kesihatan yang betul. Pesakit diabetes, mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, warga tua dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang hendaklah menjalani pemeriksaan secara tetap bagi mengesan penyakit buah pinggang kronik kerana mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk diserang penyakit ini.

 

Mereka yang menghidap penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE), mempunyai berat badan berlebihan atau merokok, serta mereka yang mengambil ubat pelega kesakitan, seperti ubat anti-radang yang bukan steroid (NSAIDS) untuk jangka masa panjang, juga berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk penyakit buah pinggang kronik.

 

Berikutan keputusan ujian darah dan air kencing, imbasan buah pinggang dan pemeriksaan lain mungkin dinasihatkan untuk menentukan punca kemerosotan fungsi buah pinggang.

Ini penting agar rawatan yang sebaik mungkin dapat diberikan kepada pesakit untuk mengekalkan fungsi buah pinggang dan secara tidak langsung, mencegah komplikasi kardiovaskular yang berkaitan.

 

- Rencana pendidikan ini dibawakan oleh Panel Pendidikan Kesihatan Buah Pinggang, dengan sokongan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare Malaysia. Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, layari www.freedomtolive.com.my atau www.msn.org.my.