Mitos dan fakta mengenai vaksin

(Artikel dari Utusan Online)

 

Mitos: Tahap kebersihan dan sanitasi yang lebih baik menyebabkan penyakit terbabit telah mula lenyap sebelum vaksin diperkenalkan.

Fakta: Penurunan penyakit berjangkit ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Ini termasuklah keadaan sosioekonomi dan pemakanan yang lebih baik.

Perkembangan antibiotik dan lain-lain rawatan, kadar kelahiran rendah dan kehidupan yang kurang bersesakan.

Mitos: Sebahagian besar mereka yang menghidap penyakit telah pun diimunisasi.

Fakta: Tiada satu vaksin yang seratus peratus berkesan. Bagi memastikan vaksin lebih selamat daripada penyakit, bakteria atau virus terbabit dibunuh atau dilemahkan.

Secara individu, bukan semua individu yang divaksinkan dapat meningkatkan ketahanan tubuh.

Bagaimanapun, dianggarkan keberkesanan vaksin secara rutin kepada kanak-kanak adalah sebanyak 85 hingga 95 peratus.

Mitos: Vaksin boleh mengakibatkan kesan sampingan dan kematian. Ia juga mungkin menyebabkan kesan jangka panjang yang tidak diketahui.

Fakta: Reaksi pemvaksinan hanyalah sementara dan sedikit seperti demam. Ia tidak boleh dilihat dari satu aspek risiko sahaja. Sebaliknya, pemvaksinan harus dilihat dari segi keseimbangan kebaikan dan risikonya.

Dua sebab yang diperlukan untuk vaksinasi ialah:

a. Melindungi diri kita.

b. Melindungi mereka

yang berada di sekeliling

kita.

Mitos: Kanak-kanak yang diberi lebih daripada satu jenis vaksin pada satu-satu masa boleh meningkatkan risiko dan menyebabkan sistem pertahanan tubuh mereka berlebihan.

Fakta: Setiap hari kanak-kanak terdedah dengan antigen asing. Jangkitan virus pada bahagian atas sistem pernafasan mendedahkan kanak-kanak kepada empat hingga 10 jenis antigen.

Kajian mendapati, vaksin gabungan adalah selamat dan berkesan. Dua sebab mengapa gabungan vaksin ialah:

a. imunisasi pada peringkat awal boleh memberi perlindungan kepada bayi kerana mereka amat mudah dijangkiti pada awal kehidupan.

b. Imunisasi gabungan bukan saja mengurangkan trauma pada kanak-kanak, ia juga menjimatkan masa, wang dan lawatan.

Apakah itu vaksin?

Vaksin merangsang sistem pertahanan tubuh bagi menghasilkan antibodi untuk penyakit tertentu tanpa menyebabkan seseorang mendapat jangkitan.

Apakah itu imunisasi?

Imunisasi merupakan salah satu kaedah perlindungan daripada penyakit.

Apabila kita telah diimunisasi, tubuh kita mampu melawan penyakit-penyakit yang menjangkiti.

Generasi pertama vaksin

- Tahun 1798 - Cacar

- Tahun 1885 - Rabies (sejenis penyakit yang ditularkan ke sistem saraf melalui gigitan anjing)

- Tahun 1897 - Plague (penyakit daripada tikus yang ditularkan kepada manusia)

- Tahun 1923 - Difteria

- Tahun 1926 - Batuk kokol

- Tahun 1927 - TB

- Tahun 1927 - Kancing gigi

- Tahun 1923 - Demam kuning.