Gangguan kesihatan seksual jejas keintiman

View previous topic View next topic Go down

Gangguan kesihatan seksual jejas keintiman

Post by KA on Wed Feb 20, 2008 10:51 am

Gangguan kesihatan seksual jejas keintiman - UTUSAN

Oleh ROSLAH OTHMAN

“TIDAK malam ini sayang. Saya pening kepala.” Mungkin ungkapan ini biasa kita ucapkan sebagai seorang isteri. Bagaimana jika ucapan yang sama keluar dari mulut lelaki, yang baru kehilangan perasaan keintiman ini.

Mungkin kita terfikir keletihan atau tekanan menjadi faktor penyebab kelembapan rangsangan seksual mereka.

Namun, ia sebenarnya turut dikaitkan dengan faktor kesihatan, emosi dan gaya hidup seseorang yang amat berkait rapat dengan kesihatan seksual.

Berbanding topik penjagaan kesihatan lain seperti amalan gaya hidup sihat, senaman dan pemakanan seimbang, topik ini amat jarang diperkatakan.

Selain kurang kesedaran mengenainya, rasa malu dan ego lelaki menjadi penyebab kenapa topik tersebut tidak dibincangkan.

Apa itu kesihatan seksual dan bagaimana ia dikaitkan dengan kesejahteraan fizikal?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan seksual ialah kesejahteraan fizikal, emosional, mental dan sosial yang berkaitan dengan seksualiti, ia bukan sahaja berkaitan penyakit, disfungsi atau kelemahan.

Ia turut merujuk bahawa kesihatan seksual memerlukan pendekatan positif, menghormati hubungan seksual dan seksualiti individu yang memberangsangkan, tanpa paksaan, diskriminasi dan keganasan.

Untuk menegakkan kesihatan seksual individu, hak asasi seksual semua individu perlu dihormati, dikawal dan dipenuhi.

Oleh itu secara ringkasnya, kesihatan seksual ialah perkara penting dalam kesejahteraan individu perkara yang dapat membantu mengukuhkan hubungan silaturahim antara individu dan keluarga.

Membincangkan perkara sama, Pakar Sakit Tuan, Dr. Ismail Tamby berkata, selain kaum ibu, kaum bapa berperanan penting untuk turut sama dalam memastikan kesejahteraan seisi keluarga.

Jika sebelum menjaga kesejahteraan keluarga hanya dikaitkan dengan ibu atau isteri, golongan bapa atau lelaki juga perlu lebih aktif dalam memartabatkan keluarga.

Ini termasuklah mengambil berat tentang kesihatan kendiri mereka, terutama sekali tentang kesihatan seksual.

Menerangkan lebih lanjut beliau berkata, terdapat tiga faktor utama yang menjejaskan kesihatan seksual seseorang iaitu faktor kesihatan, faktor psikologi dan faktor gaya hidup.

Antara masalah kesihatan yang sering dikaitkan ialah tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kesihatan prostat, kencing manis dan kecederaan saraf tunjang.

Faktor psikologi

Sementara faktor psikologi pula dikaitkan dengan kemurungan, kurang kesejahteraan emosi, tekanan, kurang keyakinan diri terhadap seks dan kurang pendidikan seks.

Pakar psikologi percaya antara 10 hingga 20 peratus daripada kes disfungsi erektil (ED) disebabkan faktor psikologi.

Ini tidak bermakna seseorang itu hilang akal, sebaliknya kata Ismail, ia lebih kepada kesejahteraan emosi yang terganggu akibat perkara yang menekan kehidupan yang secara langsung memberi kesan kepada kesihatan seksual.

Memberi contoh pesakit yang murung, ED yang dialami juga mungkin akibat daripada masalah psikologi atau fizikal atau kedua-duanya.

Bagi kebanyakan lelaki katanya, ED menambahkan lagi kemurungan sehingga boleh menyebabkan kehilangan keyakinan diri, rendah diri, resah dan tekanan antara mereka dan pasangan.

Kesemua gangguan emosi yang turut menjejaskan kesejahteraan emosi itu boleh menyebabkan masalah fizikal yang mendorong kepada kegagalan untuk mencapai ereksi.

‘‘Seks bukan sahaja permainan fizikal, tetapi ia juga memerlukan penghayatan emosi.

‘‘Ia sama seperti perasaan gembira yang mudah merangsangkan naluri seks seseorang, perasaan sebaliknya memberi kesan yang sebaliknya. Perasaan resah, takut, sedih dan benci merupakan perasaan negatif yang boleh mendorong seseorang itu mengalami impotensi akibat tekanan psikologi dalam putaran hidupnya,’’ ujarnya.

Beliau berkata, perasaan takut kepada impotensi sudah mencukupi untuk menyebabkan masalah itu berlaku. Apabila masalah itu berlaku, takut kepada kegagalan akan menambahkan lagi perasaan risau dan ini akan menambahkan tekanan kepada masalah asal iaitu impotensi.

Sementara stres yang merupakan tekanan atau paksaan juga boleh mengakibatkan gangguan emosi atau fizikal kepada seseorang.

‘‘Stres keterlaluan adalah tidak sihat. Pening kepala, mata berpusing, cengkaman otot, sakit dada, berpeluh dan kurang daya seks merupakan sebahagian simpton-simpton yang akan dialami mereka yang stres.

‘‘Stres dan seks tidak boleh dicampur kerana ia boleh menganggu perasaan syahwat dan keintiman,’’ ujarnya.

Sementara faktor gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepad masalah seks seperti merokok, meminum minuman keras dan sebagainya.

Amalan seperti merokok katanya, bukan sahaja boleh menyebabkan kanser tetapi turut menjejaskan perjalanan darah serta mengganggu pencapaian ereksi.

Ditanya mengenai gejala-gejala gangguan kesihatan seksual, beliau turut menyenaraikan beberapa gejala berkaitan.

Antaranya, ED iaitu merupakan kegagalan seseorang untuk mencapai ereksi yang mencukupi bagi tujuan hubungan seksual dan disebabkan masalah kesihatan yang telah disebutkan sebelum ini.

Walaupun penyakit tersebut tidak menyebabkan ED secara langsung, pendekatan rawatannya boleh menganggu perjalanan darah ke zakar dan mengganggu pencapaian ereksi yang mencukupi.

Kehilangan nafsu syahwat juga boleh menghalang seseorang daripada penghayatan optimum kesihatan seksual. Walaupun perkara ini dikaitkan kepada mereka yang berusia, ia juga boleh berlaku kepada pasangan muda juga akibat tekanan psikologi atau sebab psikologi.

‘‘Kehilangan nafsu syahwat dikaitkan dengan penurunan tahap hormon testosterone dan masalah psikologi seperti keresahan dan kemurungan, penyakit kesihatan mental dan masalah berkaitan dengan hubungan,’’ tegasnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, walaupun ketegangan zakar berlaku, fungsi seksual juga boleh tergendala akibat masalah fizikal.

Priapisme

Priapisme ialah ereksi yang kekal dan menyakitkan yang boleh berlaku lama dari beberapa jam ke beberapa hari. Ereksi akibat priaprisme tiada kaitan dengan aktiviti seksual dan tidak lega selepas klimaks. Ia berlaku apabila darah yang memasuki zakar tidak dapat keluar dengan baik.

Perkara ini sering berlaku apabila lelaki yang mengalamai lemah tenaga batin makan ‘ubat kuat’ yang kebetulan mengandungi kimia larangan seperti ‘viagra’ dalam kandungan yang tinggi atau viagra ‘kasar’.

Jadi mustahak katanya, lelaki yang mempunyai masalah lemah tenaga batin perlu berjumpa doktor dan bukannya mencuba ubat-ubatan yang kini terlalu banyak di pasaran.

Beliau juga tidak menafikan gangguan kesihatan seksual juga dikatakan punca berlakunya perbalahan dalam hubungan. Kekurangan aktiviti seksual dalam hubungan atau perkahwinan mampu menyebabkan pasangan semakin renggang dan menjauhkan diri antara satu sama lain.

Keadaan ini akan menambahkan lagi kepada masalah sedia ada antara mereka.

Turut dikaitkan ialah perasaan kurang keyakinan diri, perasaan kebuntuan dan hilang arah hidup yang secara tidak langsung boleh mengakibatkan masalah lebih serius.

Lelaki yang cuba menaikkan nafsu syahwat mereka dengan pengunaan ubat yang tidak diiktiraf boleh hilang daya kawalan dan seterusnya mencetuskan perlakuan jenayah seksual seperti penderaan seksual, rogol dan sumbang mahram.

Ismail berkata, dalam menangani masalah seksual, seseorang perlu mengenal pasti punca serta gejala-gejalanya dan kemudiannya memainkan peranan dalam cara-cara mengatasinya dengan nasihat pakar.

Beliau turut menasihatkan sekiranya seseorang itu menghadapi masalah berkaitan kehidupan tetapi tidak tahu kepada siapa harus dirujuk, berbincang dengan doktor merupakan langkah paling baik.

Katanya, selagi seseorang itu tidak bersikap terbuka utnuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi, tidak mungkin jalan penyelesaian dapat ditemui.

Faktor penyebab gangguan kesihatan seksual

- Faktor kesihatan - tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kesihatan prostat, kencing manis, kecederaan saraf tunjang

- Faktor psikologi - kemurungan, kurang kesejahteraan emosi, tekanan, kurang keyakinan diri, kurang keyakinan diri tentang seks, kurang pendidikan seks.

- Faktor gaya hidup - masih mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, minum minuman keras dan sebagainya.

Gejala-gejala

- Disfungsi erektil (ED)

- Kehilangan nafsu syahwat

- Priapisme

- Perbalahan dalam hubungan dan wujud perasaan kurang keyakinan diri

- Perasaan buntu atau kecewa

Bagaimana mengatasinya

- Rawatan perubatan

- Terapi dan kaunseling

- Komunikasi

- Perubahan gaya hidup

- Menyelami perasaan dalam hati

Bagaimana cara mendapatkan bantuan

- Rujuk kepada doktor.

- Melawat outlet tulen viagra atau Genuine Viagra Outlet (GVO).

- Sebagai alternatif layari laman web www.menshealth.com.my.

_________________
_______________
Pegawai Berkuasa
Unit Keselamatan & Kualiiti Makanan
Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam
Kedah Darul Aman
avatar
KA
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts : 35
Age : 37
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM
Jawatan : PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-06

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum