KUASA HANYA WASILAH

View previous topic View next topic Go down

KUASA HANYA WASILAH

Post by MMI on Tue Mar 18, 2008 6:30 pm

Kuasa hanya wasilah


Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci,
dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba
Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan
saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. (riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan pentingnya umat Islam menjaga hubungan
persaudaraan dan menghindari perbuatan yang boleh memecah-belahkan
perpaduan.
Kepada wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAZALI CHE DIN,
pensyarah kanan Rancangan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu
Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Atikullah Abdullah
memperincikan isu ini.
Apakah konsep hubungan saudara sesama Islam dalam masyarakat?
DR. ATIKULLAH: Dalam konteks hubungan sesama Islam, syariat Islam
menetapkan beberapa prinsip penting yang perlu kita hayati sepanjang
hidup. Antaranya ialah, pertama, prinsip persaudaraan.
Prinsip persaudaraan ini jelas dalam beberapa ayat al-Quran,
khususnya surah al-Hujurat ayat 10 Allah berfirman yang bermaksud,
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah
antara saudaramu dan bertakwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu
dirahmati.
Kedua, prinsip penasihatan. Prinsip penasihatan ini juga jelas
daripada beberapa nas sama ada al-Quran mahupun hadis Rasulullah.
Umpamanya dalam surah al-Asr, Allah menyebutkan antara sifat orang yang
terlepas dari kerugian itu ialah orang yang berpesan dengan kebaikan
dan kesabaran.
Begitu juga Rasulullah bersabda dalam hadis sahih yang bermaksud:
Agama itu nasihat bagi Allah dan bagi kitab-Nya dan bagi rasul-Nya dan
bagi para pemimpin orang-orang Islam dan masyarakat Islam secara
umumnya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Prinsip ketiga ialah prinsip al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy an
al-munkar atau menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Prinsip ini
juga jelas terpancar dari ayat al-Quran dan hadis baginda. Umpamanya
dalam surah al-Tawbah ayat 71 Allah berfirman yang bermaksud: Orang
yang beriman lelaki dan perempuan itu setengah mereka itu wali bagi
setengah yang lain mereka menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Keempat, prinsip islah iaitu perdamaian. Ini dijelaskan oleh Allah
dalam surah al-Hujurat ayat 49 yang bermaksud: Jika dua puak daripada
orang yang beriman itu saling berperang, maka damaikanlah antara
keduanya.
Jika kita hendak mengaitkan keempat-empat prinsip tersebut dalam
realiti kehidupan seharian, kita boleh katakan bahawa, orang Islam itu
saling bersaudara. Maka mereka perlulah saling menasihati dan mengambil
berat tentang kebaikan dan mencegah kemungkaran saudara mereka. Dalam
menjalankan kewajipan menasihati dan menyeru kebaikan dan mencegah
kemungkaran ini mungkin berlaku salah faham, perbalahan dan
pertelingkahan sesama mereka, maka akhirnya mereka mesti juga berdamai
kerana mereka saling bersaudara.
Bagaimanakah konsep keadilan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w
semasa memerintah di Madinah khususnya kepada golongan bukan Islam?
DR. ATIKULLAH: Keadilan adalah antara salah satu kata kunci dalam
system politik, ekonomi, sosial dan perundangan Islam. Keadilan adalah
salah satu dari nama Allah iaitu al-‘Adl.
Malah keadilan juga merupakan antara tujuan utama perutusan semua
rasul ke alam ini seperti yang dijelaskan firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan segala rasul Kami dengan
bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan
neraca supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. (al-Hadid: 25)
Keadilan Islam adalah keadilan yang mutlak tanpa batasan. Asalkan
seseorang atau sesuatu kumpulan itu berhak, maka hak mereka akan
ditunaikan tanpa mengira kedudukan, bangsa, warna kulit maupun
kepercayaan mereka.
Hak orang Islam akan ditunaikan, sama seperti mereka juga perlu
menunaikan tanggungjawab mereka. Begitu juga hak orang bukan Islam
wajib ditunaikan sama seperti mereka juga wajib menunaikan
tanggungjawab mereka. Ini adalah kerana konsep keadilan dalam Islam itu
bermakna meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Memberikan hak kepada orang yang berhak, adalah kena pada tempatnya
dan ia adalah keadilan yang diwajibkan oleh Islam sekalipun hak untuk
orang bukan Islam.
Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8, Allah berfirman yang bermaksud:
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak menghalau
kamu dari negerimu. Para mufassir termasuk Ibn Kathir menyatakan bahawa
ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam perlu berbuat baik dan berlaku
adil terhadap seluruh manusia meskipun mereka kafir dengan syarat
mereka tidak menghalang orang Islam menjalankan perintah Islam, tidak
memerangi para pendakwah Islam dan tidak membantu musuh-musuh Islam.
Dalam praktisnya keadilan dan toleransi Islam ini juga jelas dapat
dilihat dalam beberapa perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah dengan
orang kafir seperti Perjanjian Najran dan Perlembagaan Madinah.
Abu Yusuf dalam kitab al-Kharaj meriwayatkan antara isi kandungan
Perjanjian Najran ialah “Penduduk Najran dan sekitarnya berada dalam
lindungan Allah dan Rasulullah termasuk harta, agama, rumah-rumah
ibadat serta apa juga harta yang mereka miliki sama ada banyak atau
sedikit”.
Semangat yang sama juga dapat dilihat dalam Piagam Madinah, iaitu
perlembagaan negara secara bertulis yang pertama di dunia yang mengatur
hubungan antara pemerintahan Rasulullah s.a.w di Madinah dengan rakyat
yang bukan Islam.
Di kalangan masyarakat Melayu sering berpegang kepada pepatah
‘berpatah arang berkerat rotan’. Adakah tindakan begini dibenarkan oleh
syarak?
DR. ATIKULLAH: Pepatah dalam masyarakat Melayu boleh dibahagikan
kepada dua kategori utama iaitu pepatah yang mengandungi nilai positif
untuk dijadikan ikutan atau tauladan dan pepatah yang mengandungi nilai
yang negatif untuk dijadikan sempadan.
Pepatah yang disebutkan di atas tentulah termasuk dalam kategori
nilai negatif yang diungkapkan oleh orang tua-tua dahulu bukan
bertujuan untuk diikuti, tapi untuk dijauhi. Dalam Islam konsep
‘berpatah arang berkerat rotan’ ini tentulah tidak diterima sama sekali.
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak halal
(yakni berdosa) bagi seseorang Islam berhijrah dari saudaranya (yakni
berkelahi dan tidak bertegur sapa) melebihi tiga hari dan apabila
mereka bertemu maka saling berpaling ke arah lain, sebaik-baik mereka
ialah yang memulakan dengan memberi salam. (riwayat Muslim)
Larangan ini hanya sekadar tidak bertegur sapa apatah lagi jika
saling sakit menyakiti atau saling bermusuhan. Tentulah larangannya
lebih keras dan dosanya lebih besar.
Allah berfirman: Dan berpegang teguhlah kepada tali Allah dan
janganlah kamu bercerai-berai...(Al ‘Imran: 103). Bagaimana hendak
memulih dan menyatukan semula perpaduan terutama di kalangan umat Islam
khususnya selepas tamat pilihan raya?
DR. ATIKULLAH: Dalam ayat yang disebutkan itu telah ada cara yang
paling ampuh untuk mengembalikan perpaduan umat Islam iaitu dengan cara
berpegang teguh kepada tali Allah, iaitu agama Islam.
Jika semua umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti
mana yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunah, maka kita akan
mencapai perpaduan yang sejati dan kukuh.
Bagaimanapun dalam memahami isi kandungan al-Quran dan al-Sunah itu
tentulah ada perbezaan fahaman di kalangan para ulama khususnya dalam
ayat-ayat yang bersifat zanni dari segi dalilnya.
Namun perbezaan ini merupakan rahmat dan ia tidak membawa kepada
perpecahan dengan syarat ia berlaku di kalangan para ulama yang
berwibawa atau muktabar dan setiap pihak yang berkhilaf itu bersikap
lapang dada terhadap satu sama lain.
Sikap ini boleh dicontohi dari ungkapan Imam al-Syafie yang
menyebut, “Aku yakin bahawa pandangan aku ini benar tapi ada
kemungkinan juga ia salah dan aku yakin bahawa pandangan pihak lain itu
salah namun ada juga kemungkinan mereka benar”.
Dalam konteks perpaduan selepas pilihan raya di Malaysia, puncanya kembali kepada dua perkara utama.
Pertama, matlamat sebenar pihak yang terlibat dalam pilihan raya
tersebut. Jika parti politik yang terlibat dalam pilihan raya tersebut
menganggap bahawa pilihan raya dan kemenangan serta kuasa yang
diperoleh dari kemenangan dalam pilihan raya itu merupakan matlamat
mereka, maka mereka tidak akan berpuas hati jika pihak lain menang dan
kuasa berpindah tangan.
Ini kerana kuasa dan kekayaan yang akan terhasil dari kuasa itu
merupakan matlamat mereka. Sebaliknya, jika mereka menganggap bahawa
kuasa itu hanyalah satu wasilah untuk membolehkan mereka memberi
khidmat kepada Islam dan negara, maka kehilangan kuasa ataupun
kegagalan mendapatkan kuasa bukanlah sesuatu yang sangat merugikan
mereka.
Dalam perjuangan, umat Islam percaya bahawa kita tidak akan ditanya
oleh Allah sama ada kita menang atau kalah, tetapi kita akan
dipersoalkan tentang apakah yang kita perjuangkan. Sekalipun menang,
tetapi jika perjuangan itu perjuangan yang salah, maka ia sesuatu yang
merugikan, sebaliknya, sekalipun kalah tetapi jika perjuangan itu
perjuangan yang benar, maka ia tetap beruntung dan diberi ganjaran oleh
Allah.
Jika pegangan seperti ini ada, maka kalah menang dalam pilihan raya
tidak terlalu mengecewakan mereka sehingga hilang pertimbangan dan
berlaku pergaduhan dan permusuhan antara satu sama lain.
Kedua, sikap dan strategi berkempen menjelang pilihan raya juga akan
memberi kesan kepada perpaduan selepas itu. Jika kempen menjelang
pilihan raya itu dilakukan secara tidak beradab dan berakhlak, apatah
lagi jika wujud serangan peribadi dari segi tubuh badan fizikal, rupa
paras, keturunan dan sebagainya, ia akan memberi kesan yang mendalam
dan lama serta sangat sukar untuk dilupai dan dirawati.
Sebaliknya jika serangan itu dilakukan terhadap dasar, polisi,
strategi, kaedah perlaksanaan, kelayakan ilmu, kelayakan akhlak dan
sebagainya, maka ia lebih mudah dilupakan dan dimaafkan selepas pilihan
raya dan dengan itu perpaduan lebih mudah tercapai.
Bagaimanapun dalam konteks perpaduan selepas pilihan raya yang telah
berlalu ini, kesemua pihak yang menang dan yang kalah haruslah
bertenang dan menerima kemenangan atau kekalahan ini dengan rela dan
tenang serta menerima pilihan rakyat dengan waras.
Bagi yang merasa bahawa ia kalah, perlulah bermuhasabah merenung ke
dalam diri sendiri mencari kelemahan dan kesilapan supaya ia tidak akan
berulang. Mengakui kelemahan dan kesilapan diri merupakan satu kekuatan
yang jarang orang mampu melakukannya.
Bagi yang merasa ia menang haruslah bertenang dan memikulkan
tanggungjawab dan bebanan yang diperoleh dengan penuh amanah tanpa
diskriminasi terhadap pihak yang tidak menyokong mereka.
Jika ini dapat dilakukan, insya-Allah masyarakat kita akan bertambah matang dan pilihan raya tidak akan memecahkan kita.
Ramai daripada kita yang tidak bersedia apabila kuasa ditarik balik. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
DR. ATIKULLAH: Asasnya kembali kepada persepsi masyarakat terhadap
kuasa itu sendiri seperti yang disebutkan tadi. Jika kuasa itu dianggap
sebagai matlamat dengan sendirinya, atau kuasa itu sebagai wasilah
untuk mencari kekayaan, maka amat sukar bagi mereka untuk berenggang
dengan kuasa, kerana ia merupakan matlamat hidup mereka.
Hilang kuasa bererti hilanglah tujuan hidup mereka dan hilanglah
kemegahan hidup mereka. Sebaliknya jika kuasa itu dianggap sebagai
tanggungjawab dan amanah yang dibebankan ke atas bahu mereka, maka
terpisah daripada kuasa merupakan kerehatan hidup dan terlepas daripada
bebanan yang teramat berat.
Ini kerana dalam Islam setiap tugas dan amanah yang dipikulkan oleh
Allah itu akan disoal di akhirat kelak. Nasib setiap individu rakyat
menjadi tanggungjawab pemerintah sehingga nasib seekor haiwan juga
menjadi tanggungjawab pemerintah.
Saidina Umar semasa menjadi khalifah telah menerima laporan bahawa
seekor unta tergelincir dan terseliuh kakinya semasa berjalan di tebing
Sungai Furat.
Lalu baginda berkata, “Nescaya kamu dapati aku akan ditanya oleh
Allah di Padang Mahsyar nanti kenapa aku tidak menyediakan laluan yang
sesuai untuk unta tersebut”.
Ini menunjukkan bahawa tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh
pihak yang memegang kuasa itu sangat berat. Dengan itu jika tidak
memegang kuasa maka tugasnya menjadi lebih ringan.
Jika pegangan seperti ini dapat diterapkan dalam masyarakat kita,
maka insya-Allah masalah ‘gila kuasa’ dan sebagainya dapat diatasi
dengan baik.
Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk, bagaimanakah bentuk keadilan yang perlu ditunjukkan dalam pemerintahan umat Islam?
DR. ATIKULLAH: Realiti masyarakat majmuk bukanlah merupakan satu
identiti yang terlalu unik bagi Malaysia sahaja. Hampir tidak ada dalam
mana-mana masyarakat di seluruh dunia dari dahulu hingga sekarang yang
terdiri dari satu bangsa sahaja tanpa campuran dengan bangsa-bangsa
lain atau kumpulan etnik-etnik lain.
Pada zaman Rasulullah memerintah Madinah telah pun wujud masyarakat
majmuk pelbagai bangsa, kabilah dan agama yang terdiri daripada umat
Islam, musyrikin Mekah dan pelbagai kabilah Yahudi.
Namun hal ini tidak menjadi halangan bagi pemerintahan yang adil dan
saksama seperti yang dibuktikan oleh Rasulullah. Walaupun
pemerintahannya berdasarkan Islam, tetapi haruslah diingat bahawa
syariat Islam itu didatangkan untuk membawa rahmat sekelian alam
seperti firman Allah dalam ayat 107 surah al-Anbiya' yang bermaksud:
Dan tidak Kami utuskan engkau Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi
sekelian alam.
Ayat ini menjelaskan bahawa utusan rasulullah yang membawa Islam itu
untuk rahmat dan kebahagiaan bagi semua makhluk termasuk manusia dalam
kepelbagaian bangsa dan warna kulitnya.
Bagaimanapun pemerintahan Islam tidak boleh memaksa masyarakat bukan
Islam menerima ajaran Islam. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang
bermaksud: Tiada paksaan dalam beragama. (al-Baqarah: 256)
Pemerintahan Islam merupakan pemerintahan yang berasaskan syariat
dan undang-undang, bukan berasaskan emosi dan sentimen. Jika seseorang
itu berhak, maka haknya akan tetap ditunaikan, sekalipun ia seorang
kafir, sebaliknya jika ia tidak berhak, maka ia tetap tidak berhak
sekalipun ia seorang Muslim.
Pemerintahan Islam terbukti sebagai pemerintahan yang menghormati
hak asasi manusia dari segi kebebasan beragama, bersuara, kebebasan
mencari nafkah dan sebagainya.
Hakikat ini terbukti sepanjang zaman dan diakui oleh semua
sejarawan, baik Islam maupun bukan Islam. Ini merupakan model atau
contoh-contoh yang boleh diikuti dalam menjalankan sebuah pemerintahan
Islam moden hari ini.

MMI
Admin
Admin

Male
Number of posts : 73
Age : 36
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM
Jawatan : PEN. PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-06

View user profile http://bkh-2008.niceboard.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum