Pellbagai Punca Sakit Dada

View previous topic View next topic Go down

Pellbagai Punca Sakit Dada

Post by MMI on Tue Mar 18, 2008 12:59 pm

Pelbagai punca sakit dada

Oleh: NURUL ANUAR KARI


UJIAN ECG tekanan (kiri) dapat membantu mengesan salur darah tersumbat.
<hr noshade="noshade" size="1">
SAKIT dada, sakit jantung. Ini telah menjadi satu pemahaman dan
ketakutan di kalangan masyarakat negara ini sehinggakan banyak drama
atau filem di negara ini menjadikannya satu klise untuk menunjukkan
bencana dan tragedi keluarga. Setelah bertahun-tahun masyarakat
didedahkan kepada ‘kefahaman’ ini, tidak hairanlah ramai yang bergegas
mencari doktor apabila mengalami sakit dada kerana khuatir diserang
sakit jantung.
Tidak boleh disangkal bahawa penyakit jantung menjadi pembunuh utama
di negara ini dan banyak negara lain lagi. Memandangkan semakin ramai
golongan muda yang diserang sakit jantung, tidak menghairankan juga
golongan yang cemas ini terdiri daripada semua peringkat umur.
Namun, orang ramai perlu pandai membezakan antara serangan jantung
dengan penyakit lain supaya perasaan cemas ketika mengalami sakit dada
tidak membawa kepada kemudaratan lain.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan
Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan,
serangan jantung biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian kiri atau
tengah dada tetapi kadangkala boleh berlaku pada bahagian kanan dada
juga.
“Rasa sakit ini seperti dada ditindih (ditekan), berat atau dibelit
(sempit), dan boleh merebak dari dada ke leher, rahang atau lengan kiri
“Selain itu, rasa sakit akibat serangan jantung turut dikaitkan
dengan simptom lain seperti berpeluh, rasa mual, sesak nafas dan rasa
berdebar-debar (palpitation),” jelas beliau.
Kata beliau, rasa sakit ini juga datang dan pergi dan cuma bertahan
untuk beberapa saat atau beberapa minit sahaja, serta dapat dikurangkan
dengan berehat.
Tambahnya, serangan jantung juga dikaitkan dengan aktiviti fizikal
berat seperti senaman terlalu kuat, mengangkat barang yang berat atau
naik banyak anak tangga. Jika stres ditambah dengan perasaan marah yang
membuak-buak, terdapat juga kemungkinan serangan jantung berlaku secara
mendadak.
Jantung vs reflux
Perkara pertama dalam mengelakkan kekeliruan dan rasa cemas akibat
sakit dada adalah mengenali simptom ketika berlakunya serangan jantung.
Perasaan cemas adalah normal jika kesakitan timbul di tempat yang
sebelum ini tidak pernah berasa sakit.
Tetapi jangan terlalu risau atau cemas sehingga memudaratkan lagi keadaan dan menyebabkan rasa sakit itu semakin kuat.
Antara punca sakit dada bukan akibat serangan jantung yang biasa
ditemui adalah masalah reflux asid perut yang menyebabkan radang dan
bengkak kepada esofagus serta rasa pedih hulu hati.
“Sistem badan manusia telah diatur untuk berfungsi dengan elok, dari
atas turun ke bawah, yang mengalir pula dalam satu arah. Jika fungsi
sistem badan terganggu sehingga menjadi songsong, itu mungkin tanda
hadirnya penyakit tertentu dan rasa sakit itu pula sebagai petanda
daripada badan, memaklumkan terdapat kepincangan dalam fungsi sistem
berkenaan,” kata Dr. Ahmad Shukri.
Penyakit yang dikenali Reflux Gastroesophageal (GERD) ini merupakan
sejenis penyakit yang disebabkan oleh reflux asid dari perut yang
menghakis struktur salur penghadaman.
Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, rasa pedih hulu hati yang berhampiran
dengan kedudukan jantung ini mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan
orang ramai.
“Selalunya reflux berlaku selepas makan terutama bila individu
berkenaan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak,” kata beliau.
Beliau menyatakan reflux juga menyebabkan rasa mual, rasa asid
(masam) di dalam mulut dan tidak melibatkan simptom seperti serangan
jantung (sesak nafas, rasa berdebar) serta tidak dikaitkan dengan
aktiviti fizikal.
Tambahnya, reflux juga boleh menyebabkan simptom batuk yang kering
pada waktu malam, serangan asma (lelah) disebabkan kekejangan bronkiol
atau menyebabkan pesakit bangun mengejut pada waktu malam akibat sakit
di bahagian dada.
Rasa pedih hulu hati berbeza dengan sakit jantung kerana melibatkan
perasaan seperti terbakar (heart burn) yang berpanjangan. Makanan pedas
atau berlemak boleh menyebabkan simptom ini berlaku atau menjadi
bertambah teruk.
Saringan dan rawatan
Selain simptom, perlu juga diketahui ujian saringan bagi menentukan
keadaan kesihatan anda serta menentukan rasa sakit pada dada berpunca
daripada masalah jantung atau sebaliknya. Bukan sahaja ujian saringan,
malahan cara rawatan untuk serangan jantung dan reflux juga berbeza.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, doktor akan menjalankan ujian elektrikal
kardiogram (ECG) jika pesakit disyaki mempunyai masalah jantung atau
mengalami serangan jantung.
“Selain ECG, ujian darah juga dijalankan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah.
“Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji
kehadiran enzim jantung yang dikeluarkan jika jantung mengalami
kecederaan,” kata beliau.
Jika ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, Dr.
Ahmad Shukri memaklumkan doktor akan melakukan ujian ECG tekanan
(stres) yang memerlukan pesakit berlari di atas mesin treadmill bagi
menguji kesannya terhadap jantung.
Beliau menjelaskan jantung akan memerlukan lebih banyak oksigen
ketika menghadapi tekanan atau berlari dan perubahan pada bacaan ECG
akan berlaku jika terdapat salur darah yang tersumbat.
Bagaimanapun, ujian ECG tekanan tidak memberikan bacaan yang 100
peratus tepat dan kadangkala boleh memberikan bacaan positif atau
negatif yang salah. Ini merupakan antara batasan terhadap ujian
saringan ini yang kadangkala boleh menunjukkan pesakit yang mempunyai
masalah jantung sebagai sihat.
Dr. Ahmad Shukri memaklumkan pesakit boleh menjalani ujian koronari
angiogram jika ujian stres ECG juga normal sedangkan doktor masih
mengsyaki masalah jantung.
“Ujian koronari angiogram boleh menunjukkan bilangan dan tahap salur
darah koronari jantung yang tersumbat dengan lebih tepat. Selain
angiogram, pesakit juga boleh menjalani ujian angiogram MultiSlice
Computer Tomography (MSCT) yang hanya memerlukan suntikan di tangan dan
lebih cepat,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut menyatakan rawatan masalah jantung berbeza
mengikut keadaan dan tidak semestinya memerlukan pembedahan besar.
Sekiranya doktor mengesan tanda positif pada ECG, Stres ECG atau
MSCT, maka kaedah seterusnya yang terbaik adalah koronari angiogram
yang membolehkan rawatan dilakukan pada saluran darah yang tersumbat
melalui belon angioplasti dan stenting. Pembedahan pintasan jantung
mungkin perlu dilakukan sekiranya bilangan dan tahap saluran koronari
tersumbat terlalu serius. Selain itu, pesakit juga perlu meneruskan
rawatan yang melibatkan penggunaan ubat bagi mengelakkan serangan
jantung berulang.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan masalah reflux pula
dapat ditentukan dengan ujian endoskopi (OGDS) bagi menentukan sama ada
terdapat radang atau luka di saluran penghadaman esofagus, atau hiatal
hernia yang menjadi punca masalah berkenaan.
“Ujian lain untuk masalah reflux adalah kajian pH saluran penghadaman esofagus selama 24 hingga 48 jam.
“Rawatan untuk masalah reflux pula lebih mudah dengan bertumpu kepada mengurangkan penghasilan asid perut,” jelas beliau.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, penghasilan asid perut boleh dikawal
menggunakan ubat tertentu yang perlu diambil secara berkala oleh
pesakit.
Dr. Ahmad Shukri menasihatkan sesiapa yang menghadapi sakit dada
untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian lanjut dan juga
untuk dirujuk kepada doktor pakar perut, jantung atau paru-paru
mengikut penyakit yang disyaki.
“Perlu diingat sakit dada itu bukan hanya petanda sakit jantung
tetapi mungkin juga melibatkan masalah kesihatan lain yang perlu
dikenalpasti dengan segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.
“Jangan ambil mudah walaupun jika bukan disyaki serangan jantung dan
dapatkan nasihat serta pandangan doktor anda dengan segera,” tegas
beliau.
Sebarang pertanyaan mengenai sakit dada boleh diajukan kepada Datuk
Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh melalui e-mel ashukris@yahoo.co.uk
Risiko dan pencegahan
Terdapat dua jenis faktor risiko serangan jantung iaitu faktor tidak
boleh ubah dan boleh ubah. Faktor tidak boleh ubah termasuk umur lebih
40 tahun, jantina lelaki dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung
pada usia muda. Faktor boleh ubah pula lebih melibatkan gaya hidup yang
boleh dikawal seperti merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi,
diabetes, obesiti dan stres.
Serangan jantung juga boleh berlaku seawal usia 20-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
Bagi mereka yang aktif dalam sukan dan boleh berlari dalam jarak dua
kilometer dengan mudah, rasa sakit dada berkemungkinan bukan akibat
serangan jantung. Namun bagi mereka yang bermain sukan kurang tekanan
seperti golf, sakit dada berkemungkinan menandakan serangan jantung
terutamanya jika mereka kurang berjalan dan banyak menaiki kereta buggy
sepanjang bermain golf. Senaman, diet rendah lemak dan tidak merokok
menjadi antara kaedah utama yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko
dan mengelak mengalami serangan jantung.
Antara kumpulan yang berisiko menghidap reflux asid pula adalah
perokok, berat badan berlebihan, mempunyai masalah hiatal hernia dan
kuat minum kopi. Merokok dan tabiat sering minum kopi boleh melemahkan
cerut atau spinkter esofagus dan akan memudahkan asid perut naik ke
dalam saluran esofagus. Pesakit yang menghidap reflux perlu menjaga
pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan dalam hidangan kecil
dengan kekerapan lebih tinggi, atau makan sedikit-sedikit, banyak kali
setiap hari.
Punca-punca lain sakit dada
Aneurisme aorta yang bocor atau pecah
Masalah ini melibatkan salur darah yang membengkak dan lebih
berbahaya daripada serangan jantung kerana boleh menyebabkan kematian
mengejut pesakit. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang
sudah lanjut usia dan antara punca utamanya adalah tekanan darah
tinggi. Selain itu, pesakit yang dijangkiti kuman siflis ketika masih
muda juga menghadapi risiko aneurisme yang lebih tinggi selepas
melewati umur 50 tahun.
* Pleuritis
Masalah ini melibatkan radang pada lapisan pleura iaitu membran yang
melitupi paru-paru. Pesakit biasanya berasa sakit ketika menarik nafas
akibat paru-paru yang mengembang menyentuh lapisan pleura. Pleuritis
mungkin berlaku akibat jangkitan kuman dan cara rawatannya adalah
dengan merawat jangkitan tersebut.
* Costochondritis (Sindrom Tietze)
Masalah ini melibatkan keradangan dan bengkak pada satu atau lebih
tulang rawan costal pada tulang rusuk pesakit. Antara puncanya adalah
trauma atau batuk yang berpanjangan. Kesakitan akibat masalah ini turut
melibatkan tulang rusuk dan pesakit akan berasa lebih sakit jika
kawasan terbabit ditekan. Rasa sakit pada dada akibat masalah ini juga
berpanjangan dan boleh mencecah berhari-hari lamanya.
Selain tulang rusuk dan rawan costal, kesakitan pada otot dada juga
diletakkan di bawah kumpulan ini. Antara punca kepada masalah ini
adalah senaman keras atau terlalu berat yang mencederakan struktur
tulang, otot atau rawan pada dada. Kebanyakan pesakit yang mengalami
masalah ini menyangkakan mereka, mengalami serangan jantung tetapi
costochondritis mudah dibezakan dengan sakit jantung atau reflux asid
memandangkan kedua-dua keadaan berkenaan tidak menyebabkan kesakitan
bertambah jika dada ditekan.
Pesakit selalunya hanya perlu mengambil ubat penahan sakit untuk
masalah ini dan akan pulih selepas satu masa tertentu, bergantung
kepada punca masalah berkenaan.
* Tekanan pada saraf
Masalah ini berpunca daripada tekanan pada saraf tunjang akibat
dihimpit tulang belakang ‘cervical’ yang semakin rapat. Kesakitan yang
mulanya dirasakan pada leher boleh beralih ke dada dan boleh berlaku
kepada golongan muda ataupun yang berusia. Walaupun jarang berlaku,
masalah ini mungkin dihadapi mereka yang mengalami kecederaan teruk
pada leher.
Masalah ini boleh dikesan melalui imbasan Sinar-X atau imbasan MRI
(Magnetic resonance imaging) ke atas tulang belakang pesakit. Rawatan
untuk masalah ini biasanya melibatkan ubat dan fisioterapi tetapi
pembedahan mungkin diperlukan untuk pesakit dengan masalah yang lebih
serius.

MMI
Admin
Admin

Male
Number of posts: 73
Age: 33
Location: PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM
Jawatan: PEN. PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN
Reputation: 0
Registration date: 2008-02-06

View user profile http://bkh-2008.niceboard.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum