SIKAP AMANAH

View previous topic View next topic Go down

SIKAP AMANAH

Post by MMI on Wed Apr 09, 2008 11:27 am

Pengurusan Islam utama sikap amanah
Bersama YaPEIM

ASET NEGARA: Setiap tahun diadakan sambutan hari pekerja sebagai mengiktiraf sumbangan pekerja. Manusia berkhidmat untuk kebaikan manusia dengan matlamat mendapat keredaan Allah bukan untuk matlamat kebendaan. - Gambar hiasan

Pekerja laksana tugas atas dasar tanggungjawab tanpa perlu diawasi secara teliti

PENGURUSAN membabitkan proses pengumpulan dan penggemblengan sumber ekonomi termasuk manusia dan modal penting dalam mana-mana organisasi untuk mencapai matlamat yang sudah ditetapkan.

Dalam pengurusan moden berasaskan pendekatan Barat, beberapa pendekatan pengurusan diperkenalkan dan konsep diperkenalkan F W Taylor pada 1909 digunakan secara meluas bertujuan meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Taylor berpendapat, untuk meningkatkan produktiviti hanya hal cara saintifik saja boleh digunakan di mana pekerja tidak perlu mencari jalan sendiri untuk menyelesaikan masalah kerja mereka sebaliknya akan dilatih untuk melaksanakan kerja yang ditetapkan oleh pengurusan.

Pendekatan konsep pengurusan itu ada kecenderungan untuk menilai segala sesuatu dari segi keuntungan ekonomi. Penekanan adalah terhadap prestasi dan kecemerlangan yang diukur daripada keuntungan ekonomi berasaskan petunjuk kebendaan.

Ada pakar pengurusan yang berpendapat konsep itu tidak sesuai dipraktikkan kerana ia melihat pekerja dalam perspektif negatif. Mengikut konsep pengurusan itu, pekerja harus diawasi dan hanya perlu buat apa disuruh tanpa perlu memberi sebarang pandangan kepada pengurusan.

Pakar itu berkata, Taylor tidak langsung ambil peduli mengenai perasaan pekerja walaupun pada hakikatnya, perasaan pekerja boleh mempengaruhi produktiviti kerja. Jika seseorang pengurus mengamalkan sepenuhnya model pengurusan Taylor, bentuk pengurusan menjadi kaku dan menjejaskan produktiviti kerja disebabkan pekerja rasa terkongkong.

Beberapa pakar pengurusan Barat membuang istilah pengurus dan pengurusan serta menggantikannya dengan konsep pemimpin dan kepemimpinan.

Andainya manusia sebagai tenaga kerja dalam organisasi tidak boleh diurus, dikerah, diarah atau diatur, mereka perlu dipimpin supaya dapat menyumbang dengan cukup berkesan dalam proses mewujudkan nilai tambah kepada sistem ekonomi.

Pakar pengurusan menekankan kepemimpinan ialah semangat, menghendaki personaliti contoh dan wawasan ke hadapan. Pengurusan perlu tetapi ketua penting. Kepemimpinan dan pengurusan tidak sama. Kepemimpinan mengenai beri arahan, membina kumpulan dan menjadi penggerak kepada yang lain melalui teladan dan perbuatan.

Justeru, satu lagi model pengurusan moden sudah dibentuk ke arah mementingkan kesejahteraan pekerja. Pengurusan moden juga memberi penekanan kepada nilai sejagat atau pandangan meluas dalam mengutamakan nilai murni dianggap sebagai nilai positif.

Jepun memperkenalkan pendekatan pengurusan seperti Just-In-Time, Quality Control Circles (QCC), dan Tota; Quality Management (TQM). Negara Barat memperkenalkan konsep Management by Objectives (MBO), Management By Walking Around (MBWA) dan Management By Walking Outside (MBWO).

Jepun, dalam pendekatan pengurusannya memberi penekanan kepada pengurusan pekerja dengan melihat sikap, ketaatan kepada organisasi, mementingkan kualiti, peningkatan teknologi dan kepuasan pelanggan. Ini bermakna pendekatan pengurusan Jepun dan Barat mementingkan pengamalan nilai murni.

Model pengurusan saintifik diperkenalkan Taylor dan model pengurusan yang mementingkan kesejahteraan pekerja mempunyai persamaan dengan konsep Pengurusan Islam.

Konsep Pengurusan Islam merangkumkan kedua-dua pendekatan di mana pekerja harus mengikut hukum syarak yang ditetapkan Allah, dan sebaliknya manusia tidak perlu pengawalan rapi. Pekerja diamanahkan melaksanakan tugas masing-masing dan berdasarkan amanah itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang baik tanpa perlu diawasi atau dipaksa.

Sistem pengurusan Barat kini menekankan konsep nilai bersama sebagai asas untuk maju ke depan dalam organisasi. Tom Peters dalam bukunya In Search Of Excellence menekankan nilai bersama akan mengawal kemahiran, strategi, struktur, sistem dan gaya pengurusan.

Di Jepun, pegangan Zen Buddhism menjadi teras syarikat seperti Matsushita kerana pengasasnya percaya moral dan agama memainkan peranan penting dalam organisasi. Penekanan kepada sistem nilai dalam konsep pengurusan moden adalah sama dengan konsep Pengurusan Islam.

Dalam konsep pengurusan moden, sistem nilai yang diterima oleh satu masyarakat berbeza dengan masyarakat lain. Sistem nilai diamalkan dalam pengurusan moden adalah sistem nilai yang boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Krisis nilai timbul dan bertapak dalam kehidupan manusia apabila kemahuan hawa nafsu dan pengaruh syaitan menjadi pegangan dan manusia tunduk kepada keduanya dalam membuat keputusan serta peri laku.

Manusia sanggup melakukan perkara bercanggah dengan nilai sejagat, menyeleweng dan mengubah nilai diamalkan supaya dapat memenuhi kepentingan kebendaannya.

Sistem nilai Islam mengatasi masalah bertukarnya nilai sejagat sesuatu masyarakat. Ini membezakan konsep pengurusan moden dengan pengurusan dalam Islam yang bermula dengan hakikat setiap manusia melihat peranannya sebagai khalifah serta pemegang amanah di dunia.

Perspektif tauhid memberikan ukuran sejagat dan memberikan takrif tepat mengenai sistem nilai yang harus diikuti setiap manusia. Pokoknya, ia berasaskan pada teras bahawa setiap manusia dilahirkan di dunia sebagai hamba Allah dan perlu sentiasa setia kepada Allah.

Mereka perlu memainkan peranan penting sebagai khalifah dan pemegang amanah. Jawatan, ilmu, kemahiran dan segala keupayaan termasuk masa adalah amanah Allah kepada kita untuk digunakan dengan berkesan.

Kita akan dihisab atas tindak tanduk di dunia apabila tiba hari akhirat nanti. Ini satu bentuk pengawalan yang menentukan kita tidak akan mengubah sistem nilai. Dengan itu, pengurusan Islam tidak menghadapi perubahan nilai.

Islam mengikat manusia dengan iman, ilmu dan amal. Islam menguasai manusia dengan hukum 'pahala-dosa'. Dalam Islam, tauhid menekankan kesetiaan kepada Allah dan Rasul SAW sebagai nilai utama yang mengatasi segala nilai lain diwujudkan dalam sistem organisasi.

Ia memberikan implikasi bahawa setiap manusia berkhidmat untuk kebaikan manusia dengan matlamat mendapat keredaan Allah bukan untuk matlamat kebendaan.

Sebagai pemegang amanah kepada Allah, manusia akan menggunakan segala ilmu, harta, kemahiran dan keseluruhan dirinya untuk kepentingan ummah. Kerja dan kegiatan adalah sebagai satu proses ibadah, motivasinya bukan ganjaran dunia tetapi pengharapan balasan di akhirat.

Berasaskan paradigma tauhid, kita dapat memupuk satu matlamat hidup yang jelas dapat dipraktikkan termasuk memainkan peranan sebagai pemimpin, pengurus dan usahawan. Kita menyedari kehidupan di dunia mempunyai tujuan lebih jauh dan tinggi daripada kesenangan di dunia untuk mencapai keredaan Allah.

MMI
Admin
Admin

Male
Number of posts: 73
Age: 33
Location: PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM
Jawatan: PEN. PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN
Reputation: 0
Registration date: 2008-02-06

View user profile http://bkh-2008.niceboard.net

Back to top Go down

Re: SIKAP AMANAH

Post by YE on Thu Jun 25, 2009 10:54 am

cayalah ustaz....

YE
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts: 1
Age: 36
Location: PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM
Jawatan: PPKP
Reputation: 0
Registration date: 2008-02-14

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum