KESIHATAN ANDA

View previous topic View next topic Go down

KESIHATAN ANDA

Post by MMI on Tue Apr 15, 2008 7:57 pm

Menjaga kesihatan di sempadan diabetes

"BARU-BARU ini saya membuat pemeriksaan gula darah dan didapati terdapatnya peningkatan paras gula, iaitu di paras sempadan ke arah diabetes. Keadaan ini membimbangkan saya kerana saya mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes. Doktor tidak memberi sebarang ubat, namun menasihati saya supaya mengawal pemakanan dan membuat senaman dengan kerap. Apakah keadaan ini boleh dikawal dengan pengambilan suplemen?"

JAWAPAN

Sekiranya anda berisiko tinggi untuk mendapat diabetes, seperti mempunyai sejarah keluarga dan mempunyai masalah berat badan, anda sememangnya perlu lebih berhati-hati. Perubahan diet dan gaya hidup yang boleh diamalkan termasuklah:

l Kurangkan atau elakkan diet yang tinggi dengan gula ringkas seperti roti putih & nasi, pasta dan gula-gula. Sebaliknya, gantikan dengan makanan berfiber tinggi atau makanan lengkap seperti bijirin, beras perang & gandum penuh.

l Kurangkan pengambilan lemak tepu seperti lemak daripada makanan, kulit ayam dan daging merah.

l Jarakkan masa makan dengan mengambil jumlah makanan yang sedikit dengan kekerapan makan yang lebih.

l Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran yang kaya dengan fiber.

l Hadkan atau elakkan pengambilan alkohol.

l Berhenti merokok kerana ia boleh menjejaskan pengaliran darah ke bahagian kaki.

l Tingkatkan aktiviti fizikal. Berjalan, berenang atau berlari perlahan-lahan merupakan antara pilihan senaman yang baik.

Suplemen herba tradisional seperti gymnema dan fenugreek juga boleh diamalkan untuk mengekalkan paras gula dalam darah. Gymnema mengandungi asid gimnemik yang membantu menjana semula sel beta yang merembeskan insulin di dalam pankreas dan meningkatkan pengeluaran insulin. Insulin membantu menyingkirkan glukosa berlebihan daripada saluran darah. Fenugreek mengandungi trigonelina, kumarin, serat dan asid amino bukan protein untuk membantu mengurangkan paras gula dalam darah. Dua herba bermanfaat ini boleh digabungkan dengan Holy Basil dan Bitter melon (peria) untuk kesan yang lebih baik.

MMI
Admin
Admin

Male
Number of posts : 73
Age : 36
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM
Jawatan : PEN. PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-06

View user profile http://bkh-2008.niceboard.net

Back to top Go down

MALARIA

Post by FR 0170 on Wed May 28, 2008 12:02 pm

Malaria musuh lama berwajah baru
WABAK Malaria telah menghantui dunia dan manusia sejagat berabad lamanya. Parasit satu sel dari spesies Plasmodium merupakan mikro-organisma yang bertanggung jawab menyebabkan malaria. Nyamuk Anopheles betina pula adalah vektor penyumbang penyebaran penyakit malaria terutamanya di kawasan luar bandar. Nyamuk ini memerlukan sel-sel darah merah yang kaya dengan protein dan hemoglobin untuk bertelur.
Semasa ia sedang menghisap darah dari mangsanya, parasit Plasmodium yang berada di kilang air liur nyamuk itu akan memasuki kitaran darah mangsa sebelum bergerak ke sel-sel hati untuk berkembang dan membiak. Ketika ini mangsa mungkin tidak tahu dirinya sudah dijangkiti parasit berkenaan sehinggalah kira-kira satu atau dua minggu kemudian apabila tanda-tanda penyakit malaria mulai kelihatan.
Perkataan malaria berasal dari perkataan Itali, mal‘aria, yang bermaksud udara yang teruk. Penyakit ini sudah menular di kalangan masyarakat Rome berabad lamanya dan ketika itu ia dikaitkan dengan udara kotor yang datang dari kawasan berpaya. Secara kebetulan, kawasan yang berair dan berpaya adalah sumber pembiakan vektor pembawa parasit Plasmodium. Ada empat jenis parasit Plasmodium yang boleh menyebabkan malaria kepada manusia iaitu Plasmodium Ovale, P. Malaria, P.vivax dan P. falciparum.
Antara ke empat-empat ini, P. falciparum adalah yang paling merbahaya kerana ia boleh menyebabkan malaria otak dan melalui mutasi, ia juga boleh menjadi kalis terhadap ubat-ubat malaria yang sedia ada. P. falciparum melibatkan hampir separuh dari kes- kes malaria di seluruh dunia dan merupakan punca 95 peratus kematian akibat malaria.
Kesan-kesan dari wabak malaria mungkin tidak nyata kepada negara-negara maju seperti di Australia, Britain ataupun Amerika Syarikat (AS). Britain dan AS bagaimanapun masih mencatatkan beberapa kes malaria setiap tahun. Malaria tidak begitu diberi perhatian oleh sesetengah pihak kerana ianya adalah wabak yang sering dikaitkan dengan kawasan pendalaman ataupun kawasan yang mundur. Begitupun, tidak seperti penyakit cacar atau polio yang sudah dianggap terkawal, sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa malaria masih lagi menjadi masalah endemik kepada 106 negara di dunia, terutamanya negara-negara dari benua Afrika dan Asia.
Zambia adalah di antara negara benua Afrika yang teruk dilanda wabak ini. Di sesetengah wilayahnya, hampir satu pertiga kanak-kanak di bawah umur lima tahun sudah dihinggapi penyakit ini dan ia juga menjadi penyebab utama kematian hampir 20 peratus bayi-bayi di bawah usia lima tahun di Zambia. Sungguhpun Zambia dianugerahi dengan tanah-tanah lapang yang agak subur dan hasil bumi yang kaya, kebanyakan penduduknya teruk dilanda wabak ini sehingga ianya turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Tidak hairanlah jika Zambia tergolong di antara negara yang termiskin di dunia.
Di semenanjung Malaysia, suatu rancangan umum membanteras penyakit ini mula diperkenalkan dari tahun 1967. Pada tahun 1980, ia diganti dengan Program Pengawalan Malaria yang mendapat kerjasama dan pemantauan dari WHO. Program ini kemudiannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 1986. Kesan dari rancangan ini jelas apabila kes-kes malaria menurun secara keseluruhan di Malaysia. Sabah, antara negeri terburuk mendapat kes-kes malaria juga menunjukkan kemajuan dalam kawalan. Mengikut data WHO (2005), pada tahun 1995, 84.2 peratus kes malaria di Malaysia adalah dari Sabah yang kemudiannya menurun kepada 27.9 peratus pada 2003. Kes malaria di Malaysia juga menurun sebanyak 92.7 peratus dalam tempoh sama, dengan 59,208 kes pada 1995 berbanding hanya 6,338 kes pada 2003.
Parasit Malaria
Semenjak wabak malaria mula direkodkan kira-kira 1,700 tahun dahulu, sudah banyak penawar atau ubat-ubat yang digunakan manusia untuk memerangi penyakit ini. Kebanyakan daripada ubat yang digunakan adalah dari jenis herba dan tidak begitu berkesan untuk mencegah malaria. Parasit Plasmodium juga mempunyai rangkaian DNA yang lebih kompleks dari bakteria atau virus yang menyebabkan ia lebih tahan terhadap ubat- ubatan tradisional mahupun antibiotik biasa. Kitaran hidupnya yang ‘canggih’ dan kompleks turut menyebabkan vaksin sukar untuk dihasilkan.
Kitaran hidup parasit Plasmodium secara amnya bermula di sel-sel hati setelah ia memasuki kitaran darah pesakit. Di situ, ia akan berkembang dengan memakan sel-sel hati sehingga jumlahnya meningkat 40 ribu kali ganda. Selepas kira-kira satu hingga dua minggu, ia akan mencapai tahap kritikal dan sel-sel yang dijangkiti tadi akan pecah dan berjuta-juta parasit mikro ini akan mula memasuki kitaran darah pesakit. Parasit-parasit ini akan ‘dikitarkan’ semula ke hati dan memulakan semula proses membiak. Pada masa yang sama, parasit-parasit ini juga mula menyerang sel-sel darah merah. Tidak seperti sel-sel hati, sel-sel darah merah mulai pecah dalam masa satu atau dua hari sahaja dan menyebabkan gandaan parasit ini bertambah dengan lebih cepat.
Pada masa inilah sistem pertahanan badan mula menyedari akan masalah yang berlaku di dalam badan dan mula bertindak dengan menghasilkan sel-sel imuniti untuk membunuh parasit Plasmodium tadi. Pesakit akan mula mendapat demam, menggigil kesejukan, sakit kepala dan sakit sendi-sendi dan tulang.
Namun begitu, memandangkan kebanyakan parasit ini bersembunyi di dalam sel-sel badan untuk membiak, sistem imuniti badan tidak dapat berbuat apa-apa. Ini juga menyebabkan demam malaria ada julat kebah dan demamnya. Ketika kebanyakan parasit yang berada diluar sel-sel dibunuh oleh sel-sel imun badan, pesakit akan berasa sihat sedikit dan demamnya juga akan berkurangan untuk seketika. Proses ini akan berulang dan berterusan sehinggalah banyak sel-sel darah merah dan hati dimusnahkan oleh parasit ini. Ketika ini sistem imun badan sudah tidak lagi mampu untuk terus melawan parasit ini, menyebabkan pesakit akan koma, dan akhirnya mati akibat anemia (kekurangan darah merah) jika tidak diberikan rawatan dan ubat anti-malaria.
Di sesetengah tempat yang sudah lama mendapat endemik wabak malaria, kebanyakan penduduknya mempunyai genetik sel sabit (sickle cell), yang pada dasarnya adalah suatu kecacatan pada darah merah. Kapasiti pembawaan oksigennya tidak sebaik sel darah merah biasa, namun kecacatan ini memberikan sedikit daya tahan terhadap serangan Plasmodium. Namun, jika tanggungan dan jumlah parasit di dalam badan sangat tinggi, lambat-laun pesakit akan ‘tewas’ juga.
Sejarah dunia menangani malaria
Sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan Equador, tidak banyak ubat-ubatan lain yang boleh dianggap berjaya melawan malaria. Kuinin berasal dari kulit kayu cinchona iaitu sejenis tumbuhan dari keluarga kopi. Penduduk pribumi memanggil ubat ini sebagai quina quina yang bermaksud kulit dari kayu. Dari sinilah perkataan kuinin digunakan. Pengetahuan mengenai kegunaan Kuinin ini pesat tersebar sehinggalah ke Eropah dan Asia Timur. Namun begitu, ianya sukar didapati kerana pokok cinchona hanya boleh didapati di utara Amerika Selatan. Pedagang-pedagang dan penjelajah terpaksa memasuki hutan-hutan di Amerika Selatan untuk mendapatkan ubat ini sehinggalah pokok cinchona berjaya ditanam di Sri Lanka dan di pulau Jawa, 200 tahun selepas Kuinin ditemui.
Sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik, Chloroquine, juga sudah berjaya dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan lebih selamat dari Kuinin. Pada masa itu, Chloroquine juga memberi perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua spesies Plasmodium.
Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak malaria adalah dengan terciptanya dichloro-diphenyl-trichlroethane atau DDT. Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland telah dianugerahkan hadiah Nobel setelah dia berjaya mencipta bahan ini pada 1948. Dengan adanya DDT, vektor penyebar parasit, iaitu nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya dapat dimusnahkan secara besar-besaran. DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan membunuh jentik-jentik. Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat anti-malaria, Chloroquine.
Dengan berbekalkan kedua-dua senjata baru ini WHO mengusulkan perancangan supaya malaria dihapuskan terus dari bumi. Walaupun begitu, ianya menemui jalan buntu kerana masalah kewangan dan tenaga manusia. Di samping itu, kebanyakan negara-negara maju sudah tidak lagi berminat untuk memberikan sumbangan kerana ketika itu malaria sudah tidak lagi menjadi masalah yang utama bagi mereka. Program ini akhirnya mula dipinggirkan semenjak 1969.
Keadaan ini menjadi bertambah buruk lagi apabila wujud pula kes-kes malaria baru yang kalis kepada Kuinin ataupun Chloroquine. Lebih membimbangkan lagi apabila kesemua kes-kes baru ini adalah hasil mutasi Plasmodium falciparum yang sudah diketahui merbahaya dan sukar untuk diubati. Parasit jenis baru ini tersebar dengan cepat dan menyebabkan kes-kes malaria kembali meningkat dengan mendadak. Sekitar 1990-an, malaria kembali menjadi tumpuan WHO. Hampir setengah billion penduduk dunia juga dianggarkan telah dijangkiti malaria dan sekurang-kurangnya satu juta pesakit meninggal dunia akibat penyakit tersebut sepanjang 2006. Angka ini adalah dua kali ganda dari jumlah penduduk dunia yang dijangkiti malaria pada dua dekad yang lalu. Kebanyakan pesakit terdiri juga daripada kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang berasal dari Afrika.
Menentang
Artemisia pula merupakan nafas baru di dalam memerangi wabak ini. Herba ini sudah lama digunakan oleh masyarakat Cina semenjak kurun keempat selepas masihi lagi. Namun, di atas sebab-seba tertentu, ia tidak pernah dipelopori sehinggalah sekarang. Artemisinin adalah pati yang dihasilkan dari herba tersebut.
Ia turut diolah dengan sesetengah ubat anti-malaria yang lain bagi mengelakkan parasit Plasmodium daripada membentuk ketahanan terhadapnya. Ubat anti-malaria terbaru ini dikenali sebagai terapi berasaskan Artemisinin atau ACT. Sehingga kini, ubat terbaru ini merupakan ikhtiar terakhir kita terhadap jangkitan Plasmodium falciparum yang telah mengalami mutasi.
Kebimbangan parasit malaria akan bermutasi lagi dan menjadi kalis kepada ACT di masa hadapan menyebabkan banyak saintis mula merintis ke arah penghasilan vaksin terhadap parasit tersebut. Setakat ini, usaha ini masih menemui jalan buntu kerana kitaran hidup parasit malaria yang kompleks. Parasit ini berubah-ubah kepada sekurang-kurangnya lima bentuk yang berlainan sebelum melengkapkan satu kitaran hidupnya.
Agak sukar juga untuk menghasilkan satu vaksin yang boleh bertindak terhadap kesemua bentuk parasit di dalam kitar hidupnya. Setakat ini, sinar radiasi dikenal pasti dapat melemahkan Plasmodium. Plasmodium yang dilemahkan ini kemudiannya disuntik ke dalam pesakit yang tinggal di kawasan malaria tegar untuk meningkatkan daya tahan badan dari serangan malaria yang sebenar. Walaubagaimanapun, usaha ini masih lagi di peringkat kajian awal.
Pendekatan kedua ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria. Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun secara amnya agak murah, tetapi ianya hanya berkesan untuk kawasan-kawasan yang mudah dijelajahi oleh petugas-petugas mahupun persatuan sukarela. Lagipun, terdapat banyak kesan sampingan dari pengunaan racun seperti DDT yang sudah diharamkan penggunaannya di negara-negara maju. Sungguhpun DDT tidak merbahaya kepada manusia, tetapi ia memberikan impak yang buruk terhadap alam sekitar dan banyak hidupan liar seperti ikan salmon, singa laut dan burung helang peregrine.
Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul. Telur hasil dari persenyawaan dengan nyamuk jantan ini tidak akan menetas dan lama kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan seterusnya akan menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi. Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen (kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak malaria yang sudah bertapak di bumi ini sejak sekian lama.
Walau apa pun perancangan untuk memerangi wabak ini, yang pastinya di mana sahaja terdapat kawasan takungan air yang tidak mengalir, terutamanya di pendalaman, nyamuk Anopheles akan menjadikannya sebagai sarang pembiakannya. Setiap tiga hari, nyamuk betina akan mencari mangsanya sehinggalah ia bertelur dan setiap kali ia menghisap darah, parasit malaria akan disebarkan kepada pesakit baru. Selagi tiada usaha keras untuk menyekat kesinambungan kitaran ini, sehingga itulah penyakit malaria akan terus wujud dan menjadi masalah kepada manusia sejagat.

FR 0170
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts : 152
Age : 37
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM,KEDAH
Jawatan : PEN.PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-12

View user profile http://bkhsc.niceboard.net

Back to top Go down

Apa itu chikungunya

Post by FR 0170 on Wed May 28, 2008 12:05 pm

Apa itu chikungunya?
Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan kerap di sesuatu kawasan atau populasi, sentiasa ada) berpunca daripada virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alphavirus).

Kes pertama chikungunya direkodkan pada tahun 1952 di Tanzania, Afrika. Mendapat namanya dari bahasa Swahili, chikungunya bererti ‘melengkung ke atas’, merujuk kepada bentuk badan pesakit yang berubah seperti membongkok disebabkan menanggung kesakitan yang teramat.





Sejauh manakah kekerapannya berlaku?

Wabak chikungunya pertama kali dikesan di Afrika Timur, yang berlaku pada tahun 1952 hingga 1953. Sejurus kemudian, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

Sejak tahun 2003, terdapat beberapa wabak berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus itu.

Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi wabak ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing).

Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.

Adakah ini bermakna, individu tertentu lebih rentan terhadap penyakit ini berbanding orang lain?

Sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.

Cara penularannya

Chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana ditularkan oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypty mahupun albopictus.

Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

Adakah seseorang itu boleh dijangkiti oleh virus chikungunya beberapa kali seumur hidupnya?

Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.

Diagnosis

Chikungunya dikesan melalui ujian darah. Memandangkan kemunculan klinikal bagi chikungunya dan denggi berdarah mirip di antara kedua-duanya, pengesahan makmal adalah penting, apatah lagi di kawasan-kawasan berlakunya kes-kes demam denggi.

Adakah ia boleh dirawat?

Seperti halnya demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi melegakannya).

Misalnya, pesakit diberikan ubat penurun panas atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirahat yang cukup.

Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.

Langkah-langkah pencegahan?

Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan chikungunya, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum.

Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:

* Tidur menggunakan kelambu

* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan nyamuk aedes

* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap

* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga

* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin

* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.

Tidakkah nyamuk yang membawa virus chikungunya ini turut dijangkiti oleh penyakit tersebut?

Tidak. Bagaimanapun, nyamuk yang membawa darah bervirus di dalam tubuhnya akan kekal terjangkit sepanjang hayatnya. Tiada bukti menunjukkan virus chikungunya dipindahkan oleh nyamuk betina kepada telurnya sebagaimana virus demam denggi.

Adakah seseorang yang telah dijangkiti boleh menularkan penyakit chikungunya kepada orang lain pula?

Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

Tempoh pengeraman

Masa di antara gigitan nyamuk pembawa virus chikungunya dengan terjadinya tanda-tanda penyakit chikungunya berlaku di antara satu hingga tujuh hari (paling biasa berlaku dalam tempoh dua hingga empat hari).

Gejala

Simptom-simptom chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 390 celsius.

Lain-lain gejala termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.

Seperti penyakit-penyakit arbovirus lain, jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Mujurlah, chikungunya tidak mematikan seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.





Jadi, kenapa perlu bimbang?

Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.

Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali.

Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain.

FR 0170
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts : 152
Age : 37
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM,KEDAH
Jawatan : PEN.PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-12

View user profile http://bkhsc.niceboard.net

Back to top Go down

Gejala leptospirosis

Post by FR 0170 on Wed May 28, 2008 12:07 pm

Gejala leptospirosis
Susunan NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

KEMUNCULAN penyakit berjangkit akibat persekitaran tercemar dan kurang terurus memang sangat membimbangkan, terutama di kalangan mangsa banjir yang masih tinggal di pusat pemindahan sejak beberapa minggu lalu.

Walaupun Kementerian Kesihatan menegaskan keadaan masih terkawal dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memberikan suntikan vaksin bagi demam kepialu dan taun kepada 20,000 mangsa, orang ramai perlu berhati-hati serta sentiasa menjaga kebersihan tempat tinggal sementara mereka.

Dalam keadaan tempat tinggal yang sesak, banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku, antaranya kemunculan penyakit leptospirosis yang disebabkan jangkitan bakteria air kencing haiwan seperti tikus.

Leptospirosis berlaku di seluruh dunia, tetapi lebih kerap di negara beriklim sederhana dan tropika. Leptospirosis berpunca daripada jangkitan bakteria Leptospira dikelaskan sebagai penyakit yang jarang berlaku.

Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak tujuh kes leptospirosis dilaporkan di Johor dengan satu kematian. Banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada liar atau peliharaan.

Haiwan dijangkiti itu ada kalanya menunjukkan tanda sakit, tetapi ada juga yang tidak mengalami masalah. Secara umumnya bakteria Leptospira boleh menjangkiti lembu, babi, kuda, anjing, tikus dan haiwan liar lain.

Bakteria Leptospira berjangkit melalui sentuhan dengan air atau tanah yang tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti. Manusia boleh mendapat jangkitan apabila mengharung atau berenang dalam air tercemar yang tidak mengandungi klorin, terutama dalam keadaan banjir seperti sekarang.

Malah, menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia selain sentuhan langsung dengan air kencing, darah atau tisu haiwan yang dijangkiti.

Bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Bagaimanapun secara umumnya bakteria ini tidak dipindahkan dari satu individu ke individu lain.

Gejala

Individu yang mendapat jangkitan leptospirosis akan mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti:
• Demam panas
• Sakit kepala
• Berasa seram sejuk
• Sakit otot
• Sakit mata (konjuktivitis)
• Cirit-birit
• Muntah
• Sakit perut
• Demam kuning (akibat masalah buah pinggang atau hati)
• Kekurangan darah (anemia)
• Ruam dan gatal-gatal (kadangkala)

Gejala ini boleh berlanjutan dari beberapa hari ke beberapa minggu. Dalam kes serius, ia boleh menyebabkan kematian.

Tahap jangkitan pula berbeza antara individu kerana bagi sesetengah orang gejalanya mungkin tidak begitu jelas. Ada juga individu yang dijangkiti, tetapi tidak mengalami sebarang gejala.

Jika mengalami gejala di atas, anda disaran segera menjalani pemeriksaan kesihatan supaya rawatan awal dapat diberikan.

Oleh kerana gejala yang ditunjukkan jangkitan bakteria leptospira ini bersifat umum, ia sering disalah anggap sebagai penyakit lain.

Leptospirosis boleh disahkan melalui ujian makmal ke atas sampel darah atau air kencing pesakit.

Masalah kesihatan akibat jangkitan biasanya bermula dengan demam panas secara tiba-tiba. Jangkitan boleh berlaku dalam dua fasa. Selepas fasa pertama (yang merangkumi gejala di atas) pesakit mungkin akan sembuh seketika dan sakit semula.

Biasanya penyakit ini menjadi lebih serius apabila memasuki fasa kedua kerana ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kerosakan hati. Gejala penyakit boleh berlanjutan dari beberapa hari ke beberapa minggu. Tanpa rawatan, seseorang pesakit mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh.

Jika tidak dirawat, bakteria ini boleh menyerang dan merosakkan buah pinggang, menyebabkan meningitis (keradangan selaput otak dan saraf tunjang), kegagalan hati dan menjejaskan fungsi pernafasan pesakit.

Berapa lama gejala akan muncul selepas dijangkiti?

Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa 10 hari (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menimbulkan gejala. Namun tempoh inkubasi ini boleh ada dalam julat antara dua hingga 21 hari.

Rawatan

Penyakit leptospirosis boleh dirawat dengan pengambilan antibiotik seperti penisilin, streptomisin, erithromisin, tetrasiklin dan doksisiklin yang perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan. Bagaimanapun, pesakit yang menunjukkan gejala serius perlu segera berjumpa doktor supaya kesihatan mereka boleh dipantau.

Namun langkah terbaik ialah pencegahan yang boleh dilakukan melalui beberapa langkah iaitu:
• Elak daripada mengharung air (terutama air banjir) atau berenang dalam air sungai atau kolam yang dikhuatiri tercemar, terutama jika anda ada luka atau kudis.
• Jika berenang dalam kolam atau tasik, pastikan air tidak masuk ke dalam mulut.
• Jangan minum air mentah. Minum hanya air yang dimasak hingga mendidih.
• Pastikan kawasan persekitaran anda sentiasa bersih bagi mencegah kedatangan tikus.
• Gunakan sarung tangan apabila membuang bangkai haiwan dan membersihkan najis haiwan peliharaan.
• Bersihkan kawasan yang bertakung air.

FR 0170
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts : 152
Age : 37
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM,KEDAH
Jawatan : PEN.PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-12

View user profile http://bkhsc.niceboard.net

Back to top Go down

Keracunan makanan

Post by FR 0170 on Wed May 28, 2008 12:08 pm

Keracunan makanan
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

RASANYA hampir semua orang pernah mengalami gejala ‘salah makan’ yang menyebabkan kita terpaksa berulang ke tandas akibat cirit-birit, perut memulas dan badan pula terasa seram sejuk.
Istilah ‘salah makan’ ini rasanya kurang tepat kerana tidak mungkin kita silap ketika makan, sedangkan pada hari bermasalah itu kita masih memilih makanan dari kumpulan sama seperti hari sebelumnya.

Yang berlaku ialah, kita mengalami keracunan makanan akibat makan makanan tercemar dan mengandungi bakteria berbahaya (patogenik).

Banyak jenis bakteria boleh menyebabkan keracunan makanan dan antara paling biasa ialah Staphylococcus aureus, Salmonella, Escherichia coli, Bacillus cereus, Vibrio parahaemolyticus dan Camphylobacter.

Berdasarkan risalah pendidikan terbitan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Awam, ada banyak cara bakteria boleh mencemarkan makanan, terutama ketika proses penyediaan, memasak atau selepas dimasak.

Aspek paling penting ialah penyedia dan pengendali makanan perlu mengutamakan kebersihan kerana mereka boleh menjadi ‘penyebar’ utama mikro organisma berbahaya ini.

Setiap jenis bakteria menyerang kumpulan makanan tertentu dan mempunyai tempoh inkubasi (pembiakan) berbeza sebelum gejala keracunan muncul.

Kebanyakan bakteria mempunyai tempoh inkubasi pendek iaitu beberapa jam sebelum seseorang mula mengalami masalah cirit-birit atau muntah.
• Staphylococcus aureus (S aureus) — Bakteria ini mencemari makanan yang dimasak dan biasanya ia berpunca daripada penyedia atau pengendali makanan. Makanan yang biasanya dicemari bakteria ini ialah daging, ayam, itik, pulut, sambal udang, nasi lemak, bihun goreng, pastri berkrim, keju, susu dan cendawan.

Bakteria boleh hidup pada haiwan dan manusia, terutama dalam hidung, telinga, di atas kulit serta luka, termasuk bisul dan kudis.

Ia boleh berpindah dari tangan penyedia makanan yang tercemar atau penyimpanan makanan yang kurang sempurna iaitu disimpan pada suhu bilik melebihi empat jam.

Apabila mencemari makanan, bakteria ini mengeluarkan bahan beracun dipanggil enterotoksin yang tahan suhu tinggi. Suhu tinggi ketika memasak akan memusnahkan bakteria, tetapi racun enterotoksin ini tetap ada. Makanan mengandungi enterotoksin tidak menunjukkan tanda basi, tetapi boleh mendatangkan masalah apabila dimakan.

Masalah seperti loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit boleh muncul dalam tempoh satu hingga lapan jam. Namun, biasanya bakteria ini mengambil masa dua hingga empat jam sebelum menunjukkan ‘kekuasaannya’.

Cara terbaik mengelak masalah ini ialah mengamalkan tabiat kebersihan diri yang baik dan jangan menyedia atau memasak jika jari anda luka.
• Salmonella — Bakteria ini berpunca daripada haiwan, sama ada peliharaan atau liar. Ia biasanya ada pada kucing, anjing, tikus, lalat dan lipas yang mencemari ayam, daging, telur dan hasil telur, susu mentah serta hasil tenusu.

Ia mempunyai tempoh inkubasi di antara enam hingga 72 jam tetapi biasanya tanda seperti cirit-birit, sakit perut, muntah, loya dan demam berlaku dalam tempoh 12 hingga 36 jam selepas dijangkiti.

Salmonella boleh mencemarkan makanan melalui tangan pengendali yang tercemar (akibat memegang haiwan dan tidak mencucinya dengan bersih) dan pencemaran silang dari makanan mentah ke masak ketika penyediaan atau penyimpanan.

Untuk mengelak pencemaran Salmonella, makanan perlu dimasak dengan sempurna (melebihi 75° Celsius), elak makan daging yang kurang masak dan simpan makanan mentah dan masak dalam bekas bertutup secara berasingan. Guna alat berasingan (contohnya pisau dan papan pemotong) bagi makanan mentah dan sudah dimasak.
• Escherechia coli (E coli) — Punca utama E coli ialah najis. Bakteria ini menyebabkan sakit perut dan cirit-birit teruk. Kadangkala ia juga mengakibatkan seseorang mengalami cirit-birit berdarah dan muntah teruk.

Lebih berbahaya, jangkitan E coli, terutama pada kanak-kanak dan orang tua, boleh menyebabkan kematian atau komplikasi lain seperti radang usus.

Tempoh inkubasi E coli ialah di antara enam jam hingga tiga hari, tetapi biasanya seseorang yang dijangkiti mula mengalami cirit-birit dalam tempoh 10 hingga 15 jam. Biasanya E coli ada dalam daging burger yang tidak dimasak sepenuhnya, keju, air atau makanan yang tercemar najis.
• Bacillus cereus — Ia boleh mencemarkan nasi, hasil bijirin, puding, makanan berempah, sayur-sayuran dan makanan mengandungi daging. Apabila dijangkiti, seseorang itu hanya mengalami muntah-muntah dan sakit perut (tanpa cirit-birit).

Tempoh inkubasi bakteria ini lebih pendek iaitu di antara satu hingga enam jam atau enam hingga 24 jam. Gejala boleh muncul dalam tempoh satu hingga tiga jam atau 10 hingga 12 jam, mengikut ketahanan badan seseorang.

Bakteria ini ada pada tanah dan persekitaran kita. Justeru, ia mudah mencemarkan makanan, terutama jika makanan tidak disimpan dengan sempurna (terbiar terlalu lama iaitu melebihi empat jam pada suhu bilik).

Malah, makanan yang sudah dimasak tetapi tidak dipanaskan semula dengan baik juga boleh menjadi tempat pembiakan bakteria ini.
• Vibrio parahaemolytis — Ia biasanya ada pada makanan laut seperti ikan, udang, ketam dan kerang yang tidak dimasak dengan sempurna. V parahaemolytis hidup dalam air laut dan membiak cepat pada kepekatan garam dua hingga lima peratus.

Bakteria ini disebarkan melalui jangkitan silang daripada makanan laut mentah ke makanan yang sudah dimasak dan menyebabkan cirit-birit, perut terasa sakit dan kejang. Selain itu, individu yang dijangkiti boleh mengalami masalah loya, muntah atau demam.

Tempoh inkubasi bakteria ini ialah di antara empat hingga 30 jam, tetapi biasanya hanya mengambil masa 12 hingga 24 jam untuk menimbulkan gejala.
• Camphylobacter — Biasa ditemui dalam susu mentah, ayam, itik, hati lembu, kepah dan air tercemar. Ia berpunca daripada haiwan peliharaan, ternakan (ayam dan itik), burung serta air tercemar.

Kesan jangkitan camphylobacter lebih serius kerana ia boleh menyebabkan cirit-birit berdarah, sakit perut teruk, pening dan muntah selepas dua hingga lima hari dijangkiti.

Langkah umum untuk mencegah pencemaran semua bakteria yang disenaraikan di atas ialah memasak makanan sehingga ia benar-benar masak.

Selain kaedah pengendalian, penyediaan dan memasak, makanan masak dan mentah perlu disimpan dalam bekas bertutup kejap di tempat berasingan.

Namun, paling penting ialah memastikan anda mencuci tangan setiap kali sebelum mengendalikan makanan, sama ada mentah atau masak.

Jangan kerana sikap tidak berhati-hati anda, orang lain, terutama ahli keluarga dan pelanggan, jadi mangsa.

FR 0170
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts : 152
Age : 37
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM,KEDAH
Jawatan : PEN.PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-12

View user profile http://bkhsc.niceboard.net

Back to top Go down

Virus hepatitis pemusnah hati

Post by FR 0170 on Wed May 28, 2008 12:10 pm

Virus hepatitis pemusnah hati
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

TAHUKAH anda mengapa kita dilarang berkongsi berus gigi dan pisau cukur, walaupun dengan adik beradik sendiri? Ia adalah saluran paling mudah untuk virus berjangkit.

Dikelilingi beratus jenis virus dan bakteria mendedahkan kita kepada pelbagai jenis jangkitan jika tidak berhati-hati serta sentiasa menjaga kesihatan.

Sesetengahnya hanya menyebabkan masalah kecil seperti demam dan selesema, tetapi tidak kurang juga yang boleh membawa maut.

Antara penyakit jangkitan virus berbahaya ialah hepatitis. Walaupun penyakit ini sudah lama menjadi masalah di negara kita, masih ramai keliru mengenainya.

Hepatitis ialah penyakit yang menyebabkan hati menjadi radang dan bengkak disebabkan jangkitan virus. Ia juga boleh disebabkan pengambilan alkohol, dadah dan penyakit autoimun.

Hepatitis akibat serangan virus adalah penyakit berjangkit. Secara umumnya penyakit ini boleh dibahagikan kepada lima jenis bergantung kepada virus penyebabnya iaitu Hepatitis A, B, C, D dan E.

Bagaimanapun, hanya tiga jenis pertama yang biasa berlaku di negara kita.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Ismail Merican, berkata insiden Hepatitis A, B dan C di negara ini semakin berkurang berikutan kesedaran masyarakat untuk menjaga kesihatan dan kebersihan, terutama bagi membendung penyebaran virus hepatitis.

Untuk hidup sihat, kita memerlukan hati yang sihat dan boleh berfungsi dengan baik. Hati berfungsi sebagai organ penapis penting untuk menyingkirkan bahan beracun seperti dadah (termasuk daripada ubat) daripada darah, mengekalkan paras glukosa yang normal, menghasilkan hempedu untuk mencernakan lemak serta menyimpan vitamin A, B12, D, E, K, zat besi dan kuprum untuk keperluan badan kita.

Hati yang sihat juga penting untuk melawan jangkitan dan menghentikan pendarahan. Namun, jangkitan virus hepatitis, terutama B dan C, boleh menyerang hati, menyebabkan hati menjadi keras dan gagal berfungsi.

Masih ramai tidak sedar mereka menjadi pembawa virus kerana ada yang tidak menunjukkan gejala penyakit. Setiap jenis hepatitis mempunyai ciri lebih kurang sama tetapi berbeza cara jangkitan, kesan kepada badan dan rawatannya.

Untuk lebih jelas, penyakit ini akan dibincangkan satu persatu mengikut jenisnya.

HEPATITIS A

Ia adalah penyakit berjangkit paling lazim di dunia. Dianggarkan 1.4 juta kes Hepatitis A dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun. Gejala Hepatitis A menyamai influenza. Pesakit akan mengalami demam, sakit kepala dan kelesuan, sakit perut, muntah dan demam kuning pada peringkat akhir.

Kebanyakan orang tidak sedar mereka dijangkiti virus kerana banyak kes tidak menunjukkan gejala (asimptomatik), terutama di kalangan orang dewasa. Ketiadaan gejala juga menyebabkan jangkitan virus pada kanak-kanak tidak disedari.

Virus Hepatitis A merebak melalui makanan dan minuman tercemar najis manusia yang dijangkiti. Ia termasuk tidak mencuci tangan dengan bersih selepas menukar lampin bayi yang dijangkiti serta memakan makanan tercemar, terutama di negara membangun.

Siapa berisiko tinggi mendapat jangkitan virus ini? Sebenarnya semua orang terdedah kepada risiko jangkitan, apatah lagi mereka yang tinggal bersama pesakit Hepatitis A. Bagaimanapun, antara kumpulan paling berisiko ialah:
• Ahli keluarga atau individu yang tinggal bersama pesakit
• Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian
• Pekerja pusat jagaan harian (kanak-kanak dan orang tua)
• Orang yang mengunjungi kawasan tercemar

Tanda penyakit seperti senarai di bawah akan muncul dua hingga empat minggu selepas dijangkiti. Ada juga pesakit yang hanya mendapat gejala selepas 50 hari dijangkiti, tetapi ramai juga tidak menghadapi masalah.
• Demam
• Selesema
• Sakit kepala
• Sangat lesu
• Sakit perut
• Hilang selera makan
• Cirit-birit
• Perut kembung
• Warna najis cerah dan air kencing keruh (kuning gelap)
• Demam kuning (mata dan kulit menjadi kuning) — pada peringkat akhir

Dr Ismail berkata, masalah kesihatan akibat jangkitan virus Hepatitis A biasanya lambat sembuh kerana badan mengambil masa untuk menghasilkan antibodi. Ia mungkin mengambil masa antara tiga minggu hingga enam bulan, bergantung kepada keadaan setiap pesakit.

“Kes Hepatitis A di negara kita semakin menurun dengan peningkatan tahap kebersihan. Jangkitan akan lebih teruk jika berlaku pada orang yang berumur melebihi 40 tahun, tetapi secara umumnya 50 peratus penduduk mempunyai imuniti terhadap virus Hepatitis A apabila meningkat umur 39 tahun.

“Antara cara mengelak ialah melalui vaksin. Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk jangkitan Hepatitis A dan kebanyakan rawatan hanya untuk menghilangkan gejala penyakit. Namun apabila sembuh, bermakna seseorang itu akan imun (mempunyai daya ketahanan) terhadap penyakit sepanjang hayat,” katanya pada pelancaran Seminar Kesihatan Pendekatan Holistik Untuk Kehidupan Sihat anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Orang yang dijangkiti perlu banyak berehat, elak minuman keras dan cuci tangan hingga bersih selepas menggunakan tandas. Pesakit juga tidak dibenar menyedia atau menghidangkan makanan untuk orang lain dan mengambil ubat seperti diarahkan.

Untuk mengelak jangkitan, Dr Ismail menyarankan supaya mengelak makanan mentah seperti ulam dan salad, terutama di tempat yang ada kes, minum air tidak dirawat atau dijerang hingga menggelegak, minum minuman berais, susu tidak dipasteur serta makanan laut yang tidak dimasak sepenuhnya.

HEPATITIS B

Ia disebabkan jangkitan virus Hepatitis B dan lebih berbahaya daripada Hepatitis A kerana ia boleh menyebabkan hati radang dan bengkak. Jika tidak dirawat awal, sel hati akan menjadi keras (sirosis) dan akibatnya hati tidak boleh berfungsi. Lama kelamaan, ia boleh bertukar menjadi barah.

Dianggarkan dua bilion penduduk dunia atau seorang daripada tiga orang dijangkiti virus Hepatitis B dengan catatan 10 hingga 20 juta kes baru setiap tahun. Daripada jumlah ini, 350 juta adalah kes jangkitan kronik dan 75 peratus pembawa virus adalah penduduk Asia Pasifik, termasuk Malaysia. Lebih menyedihkan, kajian mendapati 80 peratus kes hepatitis kronik, sirosis dan kanser hati berlaku pada penduduk Asia.

Virus Hepatitis B mudah berjangkit dan dikatakan 100 kali lebih mudah berbanding virus HIV (penyebab Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit — Aids) dan mengakibatkan kira-kira dua juta kematian setiap tahun.

Dr Ismail berkata, jangkitan boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk bayi. Virus merebak melalui beberapa cara, iaitu:
• Kandungan (daripada ibu dijangkiti kepada anak dalam kandungan)
• Pendermaan darah
• Hubungan seks
• Berkongsi berus gigi dan pisau cukur
• Berkongsi jarum suntikan (terutama di kalangan penagih dadah)
• Tercucuk jarum mengandungi darah tercemar (terutama di kalangan pengamal perubatan)

Gejala penyakit:
• Cepat penat
• Sakit sendi dan otot
• Perut kembung dan besar (refraktori asites)
• Hilang selera makan
• Mual dan muntah
• Demam
• Cirit-birit
• Demam kuning (peringkat serius)

Seperti Hepatitis A, ada juga orang yang dijangkiti tidak mengalami gejala dan mereka dipanggil pembawa virus. Jika anda mengalami tanda di atas, segera jalani pemeriksaan kesihatan.

Malah, individu yang dilahirkan sebelum 1989 juga disaran menjalani pemeriksaan darah dan mendapatkan suntikan vaksin kerana pemberian vaksin hanya diwajibkan ke atas semua bayi bermula pada tahun itu.

“Peluang untuk penyakit menjadi kronik bergantung kepada berapa lama seseorang itu dijangkiti. Jika dijangkiti pada usia muda dan tidak mendapat rawatan, risikonya lebih tinggi.

“Jika anda mengalami tanda serangan, terutama perut kembung dan besar, segera jalani pemeriksaan untuk diberikan rawatan sewajarnya. Rawatan akan menghentikan aktiviti virus dan mengurangkan risiko penyakit hati,” katanya.

Hepatitis B boleh menyebabkan kerosakan hati yang kekal. Justeru, rawatan perlu dimulakan seawal mungkin. Pun begitu, pesakit mesti mendapatkan pemeriksaan rapi dan kaunseling sebelum diberikan ubat.

Pesakit juga perlu memberitahu doktor jika mereka mengambil ubat tradisional bagi mengelakkan kesan sampingan tidak diingini.

Cara terbaik untuk menghindari jangkitan virus Hepatitis B ialah melalui suntikan vaksin (hanya sekali seumur hidup), mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak bertukar pasangan. Namun, perkara penting yang perlu diingat ialah suntikan vaksin Hepatitis B tidak melindungi seseorang daripada jangkitan virus Hepatitis A.

Selain itu, pembawa virus Hepatitis B diingatkan supaya tidak menderma darah atau organ, berkongsi berus gigi dan pisau cukur dengan sesiapa.

Berdasarkan maklumat Persatuan Hepar Malaysia, kadar pembawa virus di negara ini hanyalah lima peratus, tetapi 80 peratus pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit menjadi serius.

HEPATITIS C

Kira-kira tiga peratus penduduk dunia dijangkiti virus Hepatitis C dan lebih 170 juta kes dijangka menjadi kronik. Virus tersebar melalui darah dan cecair badan, namun risiko jangkitan bayi dalam kandungan rendah (hanya lima peratus) berbanding virus Hepatitis B.

Virus ini boleh merebak melalui:
• Pendermaan darah
• Berkongsi jarum suntikan (terutama di kalangan penagih dadah)
• Tatu (yang menggunakan jarum tercemar)
• Hubungan seks (walaupun jarang dilaporkan)

Dr Ismail berkata, individu yang pernah menerima darah sebelum tahun 1995 dinasihatkan menjalani ujian bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus ini. Saranan ini dibuat kerana saringan bagi virus Hepatitis C ke atas bekalan darah hanya bermula pada 1995.

Walaupun secara umumnya penyakit ini tiada simptom, individu yang kerap mengalami keletihan melampau tanpa sebab disaran segera menjalani pemeriksaan.

Jika disahkan positif, pesakit akan diberikan rawatan segera untuk menghentikan aktiviti virus dan hampir 80 peratus pesakit boleh pulih.

HEPATITIS D

Jangkitan Hepatitis D hanya boleh berlaku dengan kehadiran Hepatitis B. Ia menyebabkan kerosakan sel hati akibat serangan virus Hepatitis B berlaku lebih cepat. Adakalanya jangkitan Hepatitis D boleh berlaku serentak dengan Hepatitis B.

Ia berjangkit melalui darah, tetapi kes membabitkan bayi yang mendapat virus daripada ibunya ketika dilahirkan sangat kurang. Hepatitis D juga boleh menyebabkan kerosakan hati kronik dan kanser. Namun kes jangkitan Hepatitis D jarang berlaku kerana keberkesanan vaksin untuk Hepatitis B, terutama di kalangan kanak-kanak.

HEPATITIS E

Ia mempunyai ciri sama dengan Hepatitis A. Jangkitannya disebabkan makanan tercemar najis orang yang dijangkiti dan kerap berlaku di negara membangun, khususnya yang sistem sanitasinya kurang baik.

Sehingga kini tiada vaksin Hepatitis E, tetapi ia boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan secara menyeluruh.

FR 0170
TEAM BKH
TEAM BKH

Male
Number of posts : 152
Age : 37
Location : PEJABAT KESIHATAN BUKIT KAYU HITAM,KEDAH
Jawatan : PEN.PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
Reputation : 0
Registration date : 2008-02-12

View user profile http://bkhsc.niceboard.net

Back to top Go down

Re: KESIHATAN ANDA

Post by Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum